Selasa, 5 Disember 2023 | 12:52pm
Pensyarah UMK, Dr Muhammad Luqman Nordin (kanan) teruja meraih gelaran Doktor Falsafah (Phd) bersama adiknya, Abu Hassan (kiri) pada majlis Konvokesyen baru-baru ini. - Foto ihsan pembaca
Pensyarah UMK, Dr Muhammad Luqman Nordin (kanan) teruja meraih gelaran Doktor Falsafah (Phd) bersama adiknya, Abu Hassan (kiri) pada majlis Konvokesyen baru-baru ini. - Foto ihsan pembaca

Pensyarah UMK teruja raih PhD bersama adik, turut dinobat pelajar cemerlang

BACHOK: Seorang pensyarah Universiti Malaysia Kelantan (UMK), di sini, teruja apabila mendapat gelaran Doktor Falsafah (Phd) bersama adik kandungnya dalam dua majlis konvokesyen berlainan, baru-baru ini.

Dr Muhammad Luqman Nordin, 34 berkata, dia tidak menyangka dapat memperoleh PhD serentak dengan adiknya, Abu Hassan Nordin, 30.

Luqman berkata, dia menamatkan pengajian bidang Farmasi di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) manakala adiknya, Abu Hassan dalam bidang kejuruteraan kimia di Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Katanya, dia turut menerima Anugerah Tesis Cemerlang dan Graduate On Time (GOT) manakala Abu Hassan menerima Anugerah Canselor pada konvokesyen UKM ke 51 dan UTM ke 67.

"Walaupun ambil bidang pengajian berbeza, kami buat kumpulan belajar bersama dan saling membantu.

"Antara cabaran terbesar adalah meneruskan pengajian ketika musim COVID-19, banyak aktiviti, penyelidikan tergendala kerana sekatan amat ketat namun kami bersyukur dapat tempuhinya," katanya.

Pensyarah Kanan Fakulti Perubatan Veterinar (FPV) UMK ini berkata, selain cabaran pandemik, keadaan ibu bapa yang uzur turut memberi cabaran untuknya menghabiskan pengajian.

Sementara itu, Abu Hassan bertugas sebagai jurutera konsultan di syarikat perkhidmatan makanan dan minuman (F&B) di Sungai Petani, Kedah berterima kasih kepada UTM menerusi bantuan kewangan yang diberikan iaitu biasiswa Zamalah UTM.

"Ini meningkatkan lagi motivasi saya untuk memberi sumbangan kepada agama, bangsa dan negara," katanya.

Luqman adalah seorang daripada 7,255 graduan UKM dan Abu Hassan pula menyertai 7,804 graduan UTM bulan lalu.

Berita Harian X