Selasa, 5 Disember 2023 | 10:45am
Sandrea pada sidang DUN Perak, hari ini. - NSTP/L MANIMARAN
Sandrea pada sidang DUN Perak, hari ini. - NSTP/L MANIMARAN

2,312 unit rumah tidak terjual di Perak setakat 2022

IPOH: Sebanyak 2,312 unit hartanah perumahan yang kebanyakannya ditawarkan dalam lingkungan harga RM200,000 ke atas di Perak, tidak terjual setakat 2022.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Perak, Sandrea Ng Shy Ching, berkata ia berdasarkan data Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC) yang menunjukkan kediaman jenis kondominium atau apartmen menjadi penyumbang tertinggi bilangan rumah tidak terjual di negeri ini.

Katanya, dua jenis kediaman itu mencatat 52.03 peratus atau 1,203 unit tidak terjual dengan daerah Kinta merekodkan angka tertinggi sebanyak 1,065 unit, diikuti Manjung (498) dan Kampar (328), manakala daerah mencatat jumlah terendah perumahan tidak terjual ialah Bagan Datuk membabitkan sembilan unit.

Beliau berkata, data berkenaan juga menunjukkan rumah tidak terjual di negeri ini adalah yang dijual pada harga di luar kemampuan dan tidak memenuhi permintaan pembeli dalam lokaliti projek terbabit.

"Bagaimanapun dari 2018 hingga 2022, berlaku penurunan konsisten perumahan yang tidak terjual. Berdasarkan data NAPIC ini, ia menunjukkan rakyat Perak lebih cenderung membeli rumah kategori kos rendah, iaitu berharga bawah RM100,000.

"Data NAPIC menunjukkan tiada hartanah perumahan tidak terjual dalam kategori harga itu di Perak," katanya ketika menjawab soalan lisan Chaw Kam Foon (PH- Menglembu) pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, di sini, hari ini.

Ditanya usaha kerajaan negeri bagi mengatasi masalah rumah tidak terjual pula, Sandrea berkata, antara langkah diambil ialah melalui pelaksanaan Dasar Perumahan Negeri Perak bagi pembangunan membabitkan keluasan tanah melebihi 8.1 hektar.

Berpandukan dasar itu, katanya, pemaju diwajibkan membangunkan 40 peratus projek terbabit dengan pembinaan rumah mampu milik yang meliputi Rumah Perakku I, Rumah Perakku II serta Rumah Perakku III, manakala baki 60 peratus lagi dibenarkan untuk pembinaan rumah harga terbuka.

Selain itu, beliau berkata, kerajaan negeri juga menyediakan beberapa insentif kepada pemaju bagi menggalakkan pembangunan Rumah Perakku, iaitu pengurangan caj pemajuan dan caj premium untuk tujuan pengeluaran hak milik Rumah Perakku I dan Rumah Perakku II.

"Bagaimanapun, pihak pemaju diminta lebih berhati-hati dalam menyusun strategi dan melaksanakan kajian pasaran serta permintaan berdasarkan lokaliti setempat sebelum memulakan apa-apa projek, bagi mengelak timbul isu rumah dibangunkan tidak dapat terjual pada masa depan," katanya.

Berita Harian X