Isnin, 4 Disember 2023 | 11:52pm
Foto dikeluarkan polis dua lelaki dicari untuk membantu siasatan kes berkenaan - Foto Ihsan PDRM
Foto dikeluarkan polis dua lelaki dicari untuk membantu siasatan kes berkenaan - Foto Ihsan PDRM

Mayat dalam simen, polis tahan seorang warga asing

SHAH ALAM: Polis menahan seorang lelaki warga asing berusia 53 tahun susulan penemuan mayat wanita yang ditanam dan disimen di sebuah rumah di Pandamaran hari ini.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, permohonan reman akan dibuat di Mahkamah Majistret Klang esok.

Pada masa sama katanya, polis sudah mengenalpasti dua suspek lelaki yang dipercayai terbabit dalam kes terbabit.

"Polis kini sedang dalam tindakan mengesan kedua-dua suspek terbabit yang dikenali sebagai Ranjit Singh dan Mandeep Singh," katanya dalam kenyataan malam ini.

Terdahulu Hussein berkata, polis menerima satu laporan dari seorang lelaki tempatan pada jam 10.58 malam, 3 Disember.

"Menurut laporan itu, lelaki (pengadu/pemilik rumah) berkenaan menerima maklumat daripada seorang lelaki warga asing terdapat mayat di dalam kolah mandi bilik air rumah pengadu yang disediakan.

Bomba dan Penyelamat Selangor mengambil masa lebih dua jam untuk memecahkan kolam air sebelum menemui mayat wanita yang ditanam dan disimen di sebuah rumah di Pandamaran. - Foto ihsan Bomba
Bomba dan Penyelamat Selangor mengambil masa lebih dua jam untuk memecahkan kolam air sebelum menemui mayat wanita yang ditanam dan disimen di sebuah rumah di Pandamaran. - Foto ihsan Bomba

"Siasatan mendapati, pengadu pernah menyewakan rumahnya di Kampung Pendamar, di sini kepada dua lelaki warga asing selama dua tahun bermula Ogos 2019 hingga Oktober 2021.

"Sebelum menyewakan rumah itu kepada

orang lain pengadu membuat pemeriksaan di

kolah mandi di dalam bilik air rumah terbabit dan mendapati kolah mandi itu disimen," katanya.

Beliau berkata, menurut pengadu penyewa warga asing memberikan alasan bahawa air dari bangkai tikus mengalir masuk ke dalam kolah mandi itu.

@bharianmy 2 jam bomba pecahkan simen keluarkan mayat wanita #beritatiktok ♬ original sound - Berita Harian

"Jadi, tanpa mengesyaki apa-apa, pengadu menyewakan rumah itu kepada penyewa lain," katanya.

Mengulas lanjut katanya, pada November lalu, pengadu meminta seorang lelaki warga asing membaiki bumbung rumah itu.

"Semasa membayar gaji kerja pembaikan, lelaki berkenaan memberitahu pengadu bahawa terdapat mayat di dalam kolam mandi itu.

"Tetapi lelaki yang memberikan maklumat itu sudah balik ke negara asal. Jadi, bagi mengesahkan maklumat itu, pengadu membuat laporan polis.

"Susulan itu, polis bersama bomba, unit Forensik, Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Selangor ke lokasi kejadian," katanya.

Katanya, setelah simen di kolah mandi dipecahkan, satu mayat wanita dewasa ditemui dan dihantar ke Hospital Shah Alam untuk proses bedah siasat pada 6 Disember nanti dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Berita Harian X