Isnin, 4 Disember 2023 | 9:37pm
Beberapa kenderaan yang terkandas akibat banjir kilat yang melanda Pekan Changlun dan Lebuhraya Jitra- Changlun susulan hujan lebat hari ini.- Foto ihsan pembaca
Beberapa kenderaan yang terkandas akibat banjir kilat yang melanda Pekan Changlun dan Lebuhraya Jitra- Changlun susulan hujan lebat hari ini.- Foto ihsan pembaca

Pekan Changlun dilanda banjir kilat akibat hujan lebat

CHANGLUN: Kawasan Pekan Changlun dan Lebuhraya Jitra- Changlun sekali lagi dilanda banjir kilat hari ini menyebabkan banyak kenderaan terkandas, berikutan paras air yang naik mendadak.

Berdasarkan video yang ditular di media sosial menunjukkan kebanyakan kenderaan terkandas berikutan banjir kilat yang melanda lewat petang tadi.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kubang Pasu, Kapten (PA) Mohd Adenin Suhaimi, berkata kejadian banjir kilat berlaku petang tadi disebabkan hujan lebat yang melanda bermula jam 6 petang.

Beliau berkata, hasil pemantauan dilakukan anggotanya mendapati antara kawasan dinaiki air adalah di Pekan Changlun dan Lebuhraya Jitra- Changlun.

@bharianmy Kenderaan terkandas, pekan Changlun dilanda banjir kilat #beritatiktok ♬ original sound Berita Harian

"Setakat ini pemantauan masih dilakukan dan bilangan rumah yang dinaiki air masih dalam bancian.

"Bagaimanapun, trend air setakat ini menunjukkan penurunan dan kejadian berlaku disebabkan saluran perparitan yang tersumbat.

"Keadaan ketika ini masih terkawal dan anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kubang Pasu masih berada di lapangan dan membuat pemantauan ketika ini selain berada dalam keadaan bersiap sedia," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Adenin berkata, tiada Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka di sekitar kawasan yang terjejas.

Berita Harian X