Isnin, 4 Disember 2023 | 6:15pm

BN keluar pun Kerajaan Perpaduan masih ada majoriti

KUALA LUMPUR: Kerajaan Perpaduan tidak akan tergugat sekiranya UMNO dan Barisan Nasional (BN) keluar dari kerajaan.

Justeru itu, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan menegaskan adalah lebih elok UMNO kekal dalam kerajaan ketika ini, berbanding memilih laluan menjadi pembangkang.

"Jika keluar pun, kerajaan ini tetap kekal dan UMNO /BN pula jadi pembangkang. 147 (Ahli Parlimen blok kerajaan) campur lima (lima Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) yang sokong kerajaan) tolak 30 (Ahli Parlimen BN) = 117 + lima.

"(Kerajaan) tetap ada majoriti. Untuk apa jadi pembangkang jika sudah elok dalam kerajaan," katanya mengulas kenyataan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menggesa supaya UMNO menilai semula kerjasama mereka dengan Pakatan Harapan (PH).

Ia susulan kekalahan dengan majoriti 37,220 undi yang diterima UMNO ketika Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman Sabtu lalu.

Mengulas lanjut, Ahmad yang juga Timbalan Menteri Kewangan berkata, masih berbaki kira-kira empat tahun sebelum tibanya Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16 untuk UMNO memperbaiki kelemahan yang ada.

"Ada empat tahun lagi sebelum PRU ke-16. Banyak yang boleh kami perbaiki. Di (PRK DUN) Pelangai (Pahang) kami menang, di Kemaman kalah. Saya yakin UMNO BN akan kekal dalam Kerajaan Perpaduan," katanya.

Pada PRK Kemaman, calon BN, Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor tewas kepada calon Pas yang juga Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dengan majoriti 37,220 undi.

Ahmad Samsuri memperoleh 64,998 undi berbanding 27,778 yang diraih Raja Mohamed Affandi.

Berita Harian X