Isnin, 4 Disember 2023 | 6:03pm
Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki
Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki

Kemiskinan bukan alasan tidak ke MRSM

KUALA LUMPUR: Majlis Amanah Rakyat (MARA) akan menggunakan pendekatan baharu dalam memastikan lebih ramai pelajar Melayu dan Bumiputera daripada golongan berpendapatan rendah berpeluang belajar di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM).

Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata usaha perlu dilakukan bagi memastikan pelajar terbabit tidak menjadikan kemiskinan keluarga sebagai alasan tidak meneruskan pendidikan di institusi MARA.

Jelasnya, antara pendekatan baharu itu adalah mengadakan kelas tuisyen percuma di luar bandar dan memperluaskan program bantuan kepada pelajar MRSM.

"Berbincang panjang lebar dengan pengurusan tertinggi Bahagian Pendidikan MARA mengenai beberapa pendekatan baharu untuk memastikan lebih ramai anak-anak Melayu Bumiputera yang miskin dan daripada keluarga berpendapatan rendah terutamanya di luar bandar dan juga kalangan miskin bandar dapat masuk ke MRSM.

"Antaranya termasuklah menggerakkan Yayasan Pelajaran MARA (YPM) untuk mengadakan kelas-kelas tuisyen percuma dan pelbagai program intervensi awal di kalangan murid-murid sekolah rendah di kalangan miskin dan di luar bandar," katanya dalam kenyataan di media sosialnya, hari ini.

Asyraf Wajdi berkata, pihaknya juga akan meneruskan program turun padang bagi mendekati golongan berpendapatan rendah di luar bandar bagi menerangkan peluang pendidikan di institusi MARA.

"Kita juga akan menyediakan dan memperluaskan program bantuan kepada pelajar-pelajar MRSM di kalangan B40 dan berpendapatan rendah dari segi wang saku, pakaian seragam maktab dan lain-lain lagi.

"MARA akan lebih agresif turun ke akar umbi seiring dengan motto atau hashtag saya perkenalkan #MerakyatkanMARA demi memastikan tiada yang tercicir atau menjadikan alasan kemiskinan untuk tidak meneruskan pengajian yang disediakan MARA," katanya.

Berita Harian X