Isnin, 4 Disember 2023 | 4:40pm
Kesan serangan Israel di Gaza - Foto AFP
Kesan serangan Israel di Gaza - Foto AFP

Israel layak diusir dari PBB kerana langgar resolusi

KUALA LUMPUR: Israel perlu diusir dari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) kerana mengabaikan semua resolusi dan melanggar prinsip yang terkandung dalam piagam PBB.

Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, rekod serangan Israel di Gaza, Tebing Barat dan Baitulmaqdis, mengesahkan negara itu mengabaikan semua resolusi berkenaan.

"Maka Israel sepatutnya boleh menjalani proses pemecatan dari PBB. Adalah jelas Israel tidak endahkan rayuan untuk melindungi orang awam dan sebaliknya terus melancarkan ratusan serangan. Perbuatan jenayah Israel sudah pasti boleh dihukum oleh undang-undang antarabangsa.

"Artikel 6 Piagam PBB menjelaskan mana-mana ahli PBB yang secara berterusan melanggar prinsip yang terkandung dalam piagam boleh dipecat daripada pertubuhan oleh Perhimpunan Agung atas cadangan Majlis Keselamatan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Azmi berkata, susulan itu, MAPIM menyeru pengusiran Israel dari PBB dengan mengadakan sidang khas tergempar perhimpunan agung dalam resolusinya 2623 (2022).

"Keadaan di Gaza ini semakin teruk dari hari ke hari. Semua petunjuk menunjukkan serangan yang semakin sengit untuk mengosongkan Gaza daripada didiami oleh rakyat Palestin.

"Kami tidak faham mengapa PBB gagal menghentikan pembunuhan beramai-ramai. Keadaan itu tidak pernah berlaku sebelum ini. Malah Setiausaha Agung PBB, Guterres mengakui ini adalah malapetaka manusia yang paling teruk sejak beliau memegang jawatan itu," katanya.

Menurutnya, pihaknya juga menyeru supaya pasukan Penjaga Keamanan PBB dikerahkan segera untuk menghentikan perang.

"Kami juga menyeru agar Perhimpunan Agung PBB diadakan berdasarkan resolusi 1950 377A (V). Oleh kerana Majlis Keselamatan kini tidak dapat bertindak kerana tidak dapat kesepakatan di antara lima ahli-ahli tetap yang mempunyai kuasa veto, Sidang PBB mempunyai kuasa untuk membuat cadangan bagi tindakan kolektif untuk mengekalkan atau mengembalikan perdamaian dan keselamatan antarabangsa Majlis Keselamatan PBB boleh menentukan bila dan di mana operasi pengaman PBB harus ditempatkan," katanya.

Berita Harian X