Isnin, 4 Disember 2023 | 3:09pm
Teresa (kiri) pada sidang media bersama Anthony (tengah) yang menjadi mangsa sindiket penipuan kerja di Myanmar dan diselamatkan pulang ke Malaysia pada 30 November lalu. NSTP/ GENES GULITAH
Teresa (kiri) pada sidang media bersama Anthony (tengah) yang menjadi mangsa sindiket penipuan kerja di Myanmar dan diselamatkan pulang ke Malaysia pada 30 November lalu. NSTP/ GENES GULITAH

'Saya dipukul dengan kayu, muka ditumbuk berkali-kali, dipaksa buat tekan tubi 200 kali....'

KUALA LUMPUR: Dipukul dengan kayu, muka ditumbuk berkali-kali dan dipaksa membuat tekan tubi 200 kali jika gagal jana pendapatan antara 'denda' diterima seorang mangsa sindiket penipuan kerja di Myanmar yang berjaya diselamatkan, baru-baru ini.

Mangsa yang tidak menyangka perasaan terujanya melihat satu iklan tawaran kerja di luar negara menjanjikan gaji mencecah RM10,000 di Facebook sebenarnya menjadi titik mula pengalaman pahit dalam hidupnya.

Menceritakan pengalaman itu, Anthony (bukan nama sebenar), 26, dan berasal dari sini berkata, segala pengalaman pahitnya bermula pada 25 Mac tahun lalu.

Katanya, dia sebelum ini bekerja sebagai pelayan restoran selama tujuh tahun di ibu negara, namun kehilangan kerja selepas majikannya menutup operasi kesan penularan COVID-19.

"Pada 25 Mac 2022, saya melihat satu iklan tawaran kerja di Facebook kononnya sebagai jurujual emas di luar negara dengan gaji antara RM7,000 hingga RM10,000 sebulan.

"Saya menghubungi nombor telefon pada iklan dan menjalani sesi temu duga secara dalam talian sebelum diarahkan berjumpa individu terbabit di sebuah pusat beli-belah di Puchong pada hari sama," katanya pada sidang media di Pusat Khidmat Parlimen Seputeh di sini, hari ini.

Jumaat lalu, media melaporkan seramai 121 rakyat Malaysia yang terkandas di Laukkaing, utara Myanmar, ekoran pergolakan di wilayah berkenaan berjaya dibawa pulang ke tanah air, melalui pelaksanaan misi evakuasi.

Mereka yang berumur antara 20-an hingga 50-an serta kebanyakannya adalah mangsa sindiket penipuan tawaran pekerjaan di utara Myanmar, diterbangkan ke Malaysia menerusi penerbangan khas AirAsia dari Kunming, China yang turut membawa seorang warganegara Indonesia yang terkandas di Laukkaing.

Anthony berkata, dia diarahkan membawa semua pakaian dan pasport, kemudian dibawa ke sebuah kondominium di Kajang, Selangor dan tinggal di sana selama sembilan hari sementara menunggu urusan memperbaharui pasportnya yang tamat tempoh serta laporan pemeriksaan kesihatan.

"Saya dibawa ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk ke Thailand dengan destinasi terakhir di Mae Sot (Thailand).

"Selepas beberapa hari ditempatkan di sebuah hotel, saya sedar yang mungkin ditipu. Saya kemudian memberitahu ejen mahu pulang ke Malaysia, tetapi ejen meminta saya membayar semula segala perbelanjaan dikeluarkannya untuk membawa saya ke Thailand.

"Saya tidak cukup duit dan dia tawarkan saya bekerja dulu di satu tempat di Myanmar dipanggil KK Garden selama tiga bulan, sebelum saya diarahkan bekerja dengan sindiket 'love scam' menyasarkan warga Amerika Syarikat (AS)," katanya.

Anthony berkata, sindiket mengarahkannya berkenalan dan 'bercinta' dengan wanita AS sebelum menawarkan skim pelaburan mata wang kripto palsu dengan menukar suara dan bahasa menggunakan Google Voice dan berinteraksi melalui Telegram.

"Saya bekerja di KK Garden selama tujuh bulan sebelum memberitahu majikan saya mahu pulang ke Malaysia, namun dipaksa membayar 5,000 Renminbi (RM3,280) atau keluarga saya perlu bayar RM20,000, selain mengugut akan membakar rumah keluarga di Malaysia tetapi saya tiada wang.

"Pada November tahun lalu, saya dibawa ke Laukkaing di utara Myanmar dan dijual kepada sindiket 'scam' milik warga China dan dipaksa menjadi 'scammer' menyasarkan warga China.

"Hampir setahun di situ, saya dipukul dengan kayu sekurang-kurangnya 50 kali, ditumbuk dan dipaksa membuat tekan tubi 200 kali pada hari saya gagal menjana pendapatan untuk sindiket," katanya.

Beliau berkata, walaupun dua sindiket tempatnya bekerja itu membayar gajinya, namun hanya cukup untuk perbelanjaan harian yang mahal, selain makanan diberi majikan dikira sebagai bayaran gaji.

"Pada tahun pertama di Myanmar, ibu bapa dan kakak tidak tahu saya berada di sana kerana saya menipu kononnya bekerja di Singapura. Namun pada 5 November lalu, saya terpaksa menghubungi kakak meminta bantuan untuk selamatkan saya.

"Ketika itu, saya berjaya melarikan diri daripada sindiket selepas berlaku perang saudara di Laukkaing dan cuba masuk ke China melalui Yunan, namun gagal. Saya ditangkap pihak berkuasa Myanmar dan dikurung dalam kandang babi bersama lebih 100 tahanan lain selama tiga hari," katanya.

Kakak mangsa yang mahu dikenali sebagai Serena, 28, pula berkata sebaik menerima panggilan Anthony pada 5 November lalu, dia membuat laporan polis di Kuantan, Pahang pada keesokannya.

"Saya berhubung dengan Ahli Parlimen Seputeh,Teresa Kok, dan berterima kasih atas bantuan Kementerian Luar serta Kerajaan Malaysia kerana membantu membawa adik saya pulang," katanya.

Sementara itu, Teresa turut berterima kasih kepada kerajaan, konsulat Malaysia di Yunan (China) dan Yangon (Myanmar) kerana berjaya membuat rundingan, seterusnya menyelamatkan bukan saja Anthony, malah lebih 100 lagi mangsa pulang ke tanah air.

Berita Harian X