Isnin, 4 Disember 2023 | 3:05pm
Tun Dr Mahathir Mohamad
Tun Dr Mahathir Mohamad

UMNO perlu berpisah daripada DAP, kata Dr Mahathir

ALOR SETAR: UMNO perlu memisahkan parti itu daripada DAP serta kembali kepada perjuangan untuk bangsa, negara dan agama bagi membolehkan sokongan kepadanya kembali.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman yang menyaksikan calon Barisan Nasional (BN) tewas kelmarin menunjukkan sokongan rakyat kepada UMNO semakin merosot.

Beliau berkata kemerosotan undi kepada UMNO akan terus berlaku selagi parti itu terus bersekongkol bersama DAP dan meninggalkan dasar perjuangan mereka selama ini.

"Semua sedar UMNO bukan lagi berjuang untuk bangsa, negara dan agama. Perjuangan UMNO ialah untuk duit, untuk selamatkan kepimpinan yang bersekongkol dengan jenayah.

"Lagipun pengundi UMNO bukan lagi yang ketahui jasa UMNO kepada negara. Mereka sudah tua dan tidak lagi aktif dalam arena politik.

"Pengundi muda dibesar setelah negara maju. Mereka berpendapat memanglah negara maju sehingga penuh dengan pencakar langit. Peranan UMNO memajukan negara dari kemiskinan dahulu sehingga separuh maju sekarang tidak disedari oleh mereka," katanya dalam kenyataan di laman sosialnya, hari ini.

Keputusan PRK Kemaman kelmarin, menyaksikan PAS mengekalkan penguasaan apabila calonnya, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menang dengan majoriti 37,220 undi selepas berjaya meraih 64,998 undi.

Calon BN, Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor pula hanya meraih 27,778 undi.

Dr Mahathir berkata, UMNO dijangka akan 'hapus' sama sekali pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) sekiranya tidak berani membuat perubahan dan memulihkan kembali parti itu.

"Dalam PRU 16, UMNO akan hapus sama sekali. Yang boleh selamat UMNO ialah pemisahan dari DAP dan kembali perjuangan untuk bangsa, negara dan agama. Pemimpin yang usang perlu digugurkan dan masalah Melayu perlu diperjuangkan semula, khusus berkenaan kemiskinan orang Melayu.

"Saya sedih kerana bapa yang menyelamat UMNO pada satu masa dahulu, anak yang musnahkan UMNO setelah mengambil alih kepimpinan. Suka atau tidak suka inilah kenyataan. Inilah mesej Kemaman," katanya.

Berita Harian X