Isnin, 4 Disember 2023 | 3:03pm
Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil NSTP/EIZAIRI SHAMSUDIN
Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil NSTP/EIZAIRI SHAMSUDIN

'PAS kini mengintai kedudukan Ketua Pembangkang' - Fahmi

KUALA LUMPUR: Kemenangan PAS pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman disifatkan sebagai satu petunjuk bahawa parti berkenaan sudah bersedia memikul tanggungjawab lebih besar dalam gabungan Perikatan Nasional (PN).

Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil, mendakwa berpendapat PAS kini sedang mengintai peluang untuk menduduki jawatan Ketua Pembangkang yang kini disandang Setiausaha Agung BERSATU, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Masa sama, beliau menegaskan yang Kerajaan Perpaduan langsung tidak terganggu dengan dakwaan bahawa kekalahan teruk Barisan Nasional (BN) dalam PRK Kemaman itu adalah satu referendum menentang Putrajaya.

"Sebaliknya lima Ahli Parlimen BERSATU yang mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sepatutnya lebih dibimbangi kerana ia menandakan potensi perpecahan dalam parti pembangkang.

"Jadi saya rasa yang patut dibimbangkan sekarang ialah BERSATU kerana sudah jelas PAS mungkin mendesak atau meminta jawatan Ketua Pembangkang pada masa hadapan," katanya.

Sebelum ini, Setiausaha Agung Pas Datuk Seri Takiyuddin Hassan, berkata keputusan PRK itu menyerlahkan kegagalan berterusan kerajaan pusat mendapat kepercayaan dan sokongan rakyat, walaupun selepas setahun memerintah.

PRK Kemaman menyaksikan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, memenangi kerusi itu dengan majoriti lebih 37,000 undi mengesahkan momentum peningkatan sokongan rakyat terhadap PN.

Ahmad Samsuri memperoleh 64,998 undi manakala Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor memperoleh 27,778 undi.

Berita Harian X