Isnin, 4 Disember 2023 | 2:39pm
Ahmad Zahid Hamidi berucap semasa majlis Peluncuran Transformasi Politeknik 2023-2030 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini. — foto BERNAMA
Ahmad Zahid Hamidi berucap semasa majlis Peluncuran Transformasi Politeknik 2023-2030 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini. — foto BERNAMA

'Saya sendiri pun tak tahu saya akan letak jawatan'

PUTRAJAYA: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menafikan akan meletak jawatan dalam politik kerana masalah kesihatan.

"Saya sendiri pun tak tahu yang saya akan melakukan perkara itu (meletakkan jawatan)," kata Ahmad Zahid selepas merasmikan Majlis Peluncuran Transformasi Politeknik 2023-2030 hari ini.

Ahmad Zahid mengakui beliau ada menjalani prosedur pembedahan prostat.

"Ya, semua orang lelaki ada prostat, tapi janganlah buat spekulasi yang macam-macam ini," katanya yang turut memaklumkan beliau kini sihat.

Pada 19 November lalu, anak sulung Zahid, Datuk Nurulhidayah mengesahkan bapanya dalam keadaan sihat selepas menjalani prosedur pembedahan kecil.

Dalam hantaran dimuat naik di Instagram Nurulhidayah yang lebih mesra disapa sebagai Kak Long itu dilaporkan berkata, beliau sangat menghargai segala keprihatinan dan doa daripada orang ramai mengenai kesihatan bapanya.

Sementara itu pada 23 November, Ahmad Zahid dalam satu hantaran di Facebook menyatakan beliau sedang berehat atas nasihat doktor sebelum kembali bertugas.

Minggu lalu, Ahmad Zahid kembali bertugas dengan menghadiri mesyuarat Kabinet yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Berita Harian X