Isnin, 4 Disember 2023 | 2:25pm
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada sidang media selepas majlis Peluncuran Hala Tuju Tranformasi Politeknik 2023-2030 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada sidang media selepas majlis Peluncuran Hala Tuju Tranformasi Politeknik 2023-2030 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini.

'Usah mimpi jadikan keputusan PRK Kemaman jadi referendum' - Zahid Hamidi

PUTRAJAYA: Tidak ada peningkatan sokongan kepada calon PAS, sebaliknya berlaku kekurangan pengundi putih UMNO keluar dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman, yang menyaksikan menyebabkan kekalahan calon Barisan Nasional (BN).

Pengerusi BN yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Zahid Hamidi, mendakwa pihaknya mendapati hanya 68.3 peratus pengundi putih keluar mengundi pada PRK Kemaman pada Sabtu lalu.

"UMNO dapati 68.3 peratus sahaja pengundi putih yang keluar mengundi, maka ia menyumbang kepada majoriti yang bertambah (kepada PAS) kerana pengundi kita tidak keluar," katanya dalam sidang media selepas merasmikan Majlis Peluncuran Transformasi Politeknik 2023-2030 di sini, hari ini.

Beliau turut menolak kenyataan Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, yang menyifatkan kemenangan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar, yang mewakili PAS dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman membuktikan referendum rakyat terus berpihak kepada gabungan Perikatan Nasional (PN).

Ahmad Zahid berkata, keputusan PRK itu itu tidak boleh dianggap sebagai referendum kerana hanya membabitkan satu kawasan kecil di Kemaman.

"Mana mungkin 141,000 pengundi di Kemaman dianggap sebagai satu referendum. Jadi kita harap mereka tidak bermimpi di siang hari," katanya.

Sabtu lalu, PAS mengekalkan kemenangannya di Parlimen Kemaman selepas Ahmad Samsuri memenangi PRK itu dengan majoriti 37,220 undi, setelah memperoleh 64,998 undi menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Jen (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor yang mendapat 27,778 undi.

Berita Harian X