Isnin, 4 Disember 2023 | 2:24pm

Aplikasi MAE tergendala gara-gara ramai tuntut RM100 eMADANI

KUALA LUMPUR: Aplikasi perbankan MAE milik Maybank yang dilaporkan terganggu sejak awal pagi tadi sudah dipulihkan, menurut kemas kini di Facebook rasmi institusi perbankan itu.

Aplikasi perkhidmatan terganggu berikutan ramai mahu menuntut kredit eMADANI yang mula boleh ditebus jam 8 pagi tadi.

Tawaran e-kredit tunai RM100 juga dinikmati rakyat Malaysia yang berpendapatan kurang RM100,000 setahun.

Dalam kenyataan di Facebook, Maybank mengatakan pihaknya sudah memulihkan masalah itu dan meminta pengguna bersabar.

"Perkhidmatan (pautan) eMADANI di aplikasi MAE sudah kembali seperti biasa. Anda boleh kembali menuntut e-kredit itu. Terima kasih atas kesabaran," katanya.

Terdahulu, Maybank mengakui perkhidmatan pada aplikasinya sedang bermasalah berikutan trafik tinggi untuk orang ramai menebus e-kredit itu.

Terdahulu, Facebook Maybank turut mengingatkan pengguna supaya mengabaikan mesej atau pautan yang mencurigakan.

"Jika anda ingin menebus RM100 eMADANI, anda boleh melakukannya mulai hari ini (4 Disember) melalui aplikasi MAE dengan mengikut beberapa langkah.

"Lancarkan aplikasi MAE, tekan ikon 'eMADANI' pada halaman utama. Kemudian, lengkapkan maklumat anda dan tekan 'Submit' dan anda akan mendapat notifikasi jika permohonan eMADANI anda berjaya," katanya.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan bantuan yang dilaksanakan secara sekali bayar (one-off) itu dibuka mulai hari ini hingga 20 Februari tahun depan

Ia adalah inisiatif daripada Kementerian Kewangan (MoF) dilancarkan bertujuan menggalakkan ekonomi digital dan memupuk budaya pembayaran tanpa tunai, memanfaatkan 10 juta rakyat dewasa yang layak dengan peruntukan RM1 bilion.

Kementerian itu juga memaklumkan kerajaan akan mengambil tindakan tegas termasuk menyekat akaun yang terbabit dan melucutkan hak kredit penerima eMadani.

Katanya, langkah itu bakal diambil sekiranya terdapat laporan bagi mana-mana kes yang membabitkan pemindahan 'peer-to-peer' atau penebusan tunai.

Berita Harian X