Isnin, 4 Disember 2023 | 2:23pm
Foto fail NSTP
Foto fail NSTP

Amaran hujan tahap waspada di Pantai Timur mulai Rabu

Oleh Ercy Gracella Ajos

[email protected]

KUALA LUMPUR: Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap waspada mulai Rabu sehingga Jumaat ini di Terengganu selain beberapa daerah di Kelantan dan Pahang.

METMalaysia menerusi satu hantaran memaklumkan, keadaan cuaca itu di Kelantan dijangka di Tumpat, Pasir Mas, Kita Bharu, Bachok, Machang dan Pasir Putih manakala di Pahang pula diramal di Kuantan dan Pekan.

"Amaran hujan berterusan tahap waspada dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan hujan atau ribut petir sedang atau dijangka berlaku melebihi enam jam dalam tempoh berkenaan di sesuatu kawasan," katanya.

Katanya amaran hujan berterusan tahap bahaya pula dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda yang menunjukkan hujan lebat berterusan dijangka berlaku dengan jumlah melebihi 150 milimeter (mm) dalam tempoh 24 jam.

"Selain itu, amaran hujan berterusan tahap buruk dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda yang menunjukkan hujan lebat berterusan dijangka berlaku dengan jumlah melebihi 60mm dalam tempoh enam jam," katanya.

Justeru, orang awam dinasihatkan sentiasa merujuk laman web: www.met.gov.my dan semua media sosial rasmi METMalaysia serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat yang terkini serta sahih.

Berita Harian X