Isnin, 4 Disember 2023 | 2:18pm
 Foto hiasan
Foto hiasan

Kes demam denggi meningkat

KUALA LUMPUR: Sebanyak 2,686 kes demam denggi dilaporkan bagi Minggu Epidemiologi (ME) ke-47 dari 19 November hingga 25 November lalu, peningkatan 314 kes atau 13.2 peratus berbanding 2,372 kes minggu sebelumnya.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan, berkata terdapat tiga kematian akibat komplikasi demam denggi dilaporkan bagi tempoh sama.

Katanya, jumlah kumlatif kes demam denggi yang dilaporkan sehingga ME ke-47 adalah sebanyak 108,429 kes berbanding 56,304 kes bagi tempoh sama tahun lalu, iaitu peningkatan sebanyak 52,125 atau 92.6 peratus.

"Sejumlah 83 kematian akibat komplikasi demam denggi dilaporkan sehingga kini berbanding 37 kematian bagi tempoh yang sama pada tahun lepas.

"Disamping itu, sebanyak 79 lokaliti hotspot dilaporkan pada minggu ini berbanding 66 lokaliti pada minggu sebelumnya.

"Dari jumlah keseluruhan lokaliti yang dilaporkan, 60 lokaliti di Selangor, tujuh lokaliti di enam lokaliti di ibu kota dan Putrajaya, empat di Sabah serta masing-masing satu lokaliti di Johor dan Sarawak," katanya menurut kenyataan itu.

Dalam pada itu, beliau berkata survelan virus chikungunya pula merekorkqn dua kes pada minggu lalu, menjadikan jumlah kumulatif kes chikungunya sehingga kini adalah sebanyak 188 kes.

"Bagi survelan zika pula sebanyak 3,362 sampel darah dan 363 sampel urin dijalankan dan hasil kesemuanya adalah negatif.

"Justeru, setiap lapisan masyarakat perlu bertanggungjawab dan bertindak proaktif dalam usaha membantu mengurangkan kejadian kes demam denggi yang sedang meningkat.

"Jawatankuasa penduduk, Badan Pengurusan Bersama (Joint Management Board-JMB), Rukun Tetangga atau pihak berwajib perlu memainkan peranan dalam menggerakkan komuniti untuk melakukan aktiviti cari dan musnah pembiakan nyamuk aedes sekurang-kurangnya 10 minit seminggu bagi mengekalkan persekitaran bebas nyamuk aedes," katanya.

Selain itu, katanya aktiviti gotong-royong secara berkala turut disarankan bagi membersihkan persekitaran premis dari tempat pembiakan nyamuk aedes, contohnya bekas makanan atau minuman, kulit buah-buahan, barang lusuh yang tidak digunakan serta bekas atau peralatan yang tidak digunakan di sekeliling rumah.

"Lupuskan sampah, barang lusuh serta tidak dapat digunakan di dalam tempat pelupusan yang sudah disediakan atau ditentukan," katanya.

Berita Harian X