Isnin, 4 Disember 2023 | 1:03pm
Anggota Unit Forensik polis memeriksa kereta yang ditemui terbakar di ladang sawit di Kampung Sungai Samak, Hutan Melintang, Perak pada 6 September 2015, dipercayai sama dengan model yang digunakan Timbalan Ketua Bahagian Perbicaraan dan Rayuan di Jabatan Peguam Negara, Kevin Anthony Morais yang dilaporkan hilang tiga hari sebelumnya. - Foto fail NSTP
Anggota Unit Forensik polis memeriksa kereta yang ditemui terbakar di ladang sawit di Kampung Sungai Samak, Hutan Melintang, Perak pada 6 September 2015, dipercayai sama dengan model yang digunakan Timbalan Ketua Bahagian Perbicaraan dan Rayuan di Jabatan Peguam Negara, Kevin Anthony Morais yang dilaporkan hilang tiga hari sebelumnya. - Foto fail NSTP

Peguam bela kata tiada bukti bekas pakar patologi bunuh Kevin Morais

PUTRAJAYA: Pihak pembelaan Kolonel Dr R Kunaseegaran mendakwa tiada bukti mengaitkan bekas pakar patologi itu terhadap perlakuan jenayah pembunuhan Timbalan Pendakwa Raya (TPR), Datuk Anthony Kevin Morais, lapan tahun lalu.

Kunaseegaran, 60, bersama pemberi pinjaman wang, S Ravi Chandaran, 52, dan empat penganggur, R Dinishwaran, 31; A K Thinesh Kumar, 30; M Vishwanath, 33 serta S Nimalan, 30, merayu terhadap hukuman mati dikenakan oleh Mahkamah Tinggi atas sabitan kesalahan membunuh TPR terbabit.

Peguam bela Kunaseegaran, Datuk N Sivananthan, berkata Hakim Datuk Azman Abdullah gagal melakukan penilaian maksimum ke atas semua bukti yang dikemukakan.

Beliau berkata, hakim itu akan mendapati bahawa bukti dikemukakan oleh saksi pendakwaan ke-54, G Gunasekaran, berkaitan anak guamnya tidak boleh dipercayai, jika membuat penilaian yang betul.

"Tambahan lagi, hakim bicara (Azman) akan membuat kesimpulan bahawa bukti yang menentang A1 (perayu pertama, Kunaseegaran) adalah teori semata-mata berkaitan motif.

"Tiada bukti menunjukkan niat bersama antara A1 dan A3-A7 (perayu ketiga hingga ketujuh yang juga lima lagi lelaki itu untuk bunuh Kevin Morais).

"Maka, hakim bicara tersilap meminta A1 membela diri dan seterusnya gagal mempertimbangkan pembelaan A1 secara adil serta saksama," katanya.

Beliau berhujah di hadapan panel tiga Hakim Mahkamah Rayuan dipengerusikan Datuk Hadhariah Syed Ismail, yang bersidang bersama Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim dan Datuk Azmi Ariffin, hari ini.

Pada 10 Julai 2020, keenam-enam lelaki berkenaan dihukum mati oleh Mahkamah Tinggi selepas didapati bersalah membunuh Kevin Morais.

Mereka didakwa membunuh Kevin Morais, 55, di sebuah lokasi di sepanjang Jalan Dutamas Raya Sentul dan No 1, Jalan USJ 1/6D, Subang Jaya antara 7 pagi hingga 8 malam, 4 September 2015.

Sepanjang perbicaraan yang bermula pada 6 April 2016, pihak pendakwaan mengemukakan 70 saksi, manakala pembelaan memanggil 14 saksi bagi memberi keterangan.

Pada 28 September 2015, tujuh lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret, atas tuduhan membunuh dan bersubahat membunuh Kevis Morais.

Bagaimanapun, Gunasekaran dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan membunuh mendiang selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen, atas tuduhan menyembunyikan mayat dan melupuskan kereta Kevin Morais.

Gunasekaran dikenakan hukuman penjara dua tahun selepas menukar pengakuan kepada bersalah ketika perbicaraan kes bunuh itu pada hari ke-36 pada 20 Disember 2016.

Lelaki itu kemudian dipanggil memberi keterangan sebagai saksi pendakwaan ke-54 pada perbicaraan hari ke-39 kes pembunuhan terbabit.

Sementara itu, peguam bela Dinishwaran, M Manoharan, membangkitkan persoalan mengenai pembunuhan Kevin Morais sebelum menegaskan anak guamnya bukan individu yang bertanggungjawab di sebalik insiden itu.

"Siapa bunuh Kevin Morais? Sudah tentu bukan T3 (tertuduh ketiga, Dinishwaran). Mengikut bukti dikemukakan, T3 tidak terbabit langsung (dalam pembunuhan Kevin Morais).

"Perayu (anak guam) menyimpulkan bahawa ada banyak keraguan munasabah dalam kes ini.

"Oleh demikian, mohon keputusan Mahkamah Tinggi diketepikan dan perayu dilepas serta dibebaskan daripada pertuduhan terhadapnya," katanya.

Prosiding rayuan bersambung Khamis ini.

Berita Harian X