Isnin, 4 Disember 2023 | 9:21am
Yon yang mengusahakan 30 relung sawah di Kampung Alor Rela, Langgar, Kedah memperoleh hasil sekitar sembilan tan sehektar setiap musim. - Foto hiasan NSTP
Yon yang mengusahakan 30 relung sawah di Kampung Alor Rela, Langgar, Kedah memperoleh hasil sekitar sembilan tan sehektar setiap musim. - Foto hiasan NSTP

Yon, 'hero' petani muda MADA berazam tarik orang muda jadi pesawah

KUALA LUMPUR: Diangkat sebagai 'hero' petani muda oleh Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), Mohd Amirul Idris beriltizam untuk menarik lebih ramai belia menceburi bidang penanaman padi di negara ini dengan menjadikan dirinya sebagai 'bukti' bahawa sektor itu mampu memberikan hasil lumayan.

Lebih mesra dipanggil Yon, pesawah moden berusia 36 tahun ini mula bergelumang lumpur bendang ketika berusia 18 tahun semasa menunggu keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

"Saya baru sahaja selesai menduduki SPM pada 2004, dan tidak ingin hanya duduk di rumah, saya mengambil inisiatif membantu penduduk kampung dengan bekerja di sawah mereka. Lama-kelamaan, minat dan cinta saya semakin mendalam untuk terus menceburi perusahaan sawah padi ini.

"Daripada upah kerja sambilan yang saya lakukan kira-kira setahun, saya berjaya kumpul modal permulaan untuk membuka tiga relung (0.953 hektar) sawah. Ketika itu kadar sewa satu relung hanya sekitar RM400," kongsinya.

Lapan belas tahun berlalu, beliau kini mengusahakan 30 relung sawah di Kampung Alor Rela, Langgar, Kedah, dan julukan 'hero' petani muda itu datang daripada kejayaannya yang telah beberapa kali menerima pengiktirafan MADA dari segi pengeluaran hasil tertinggi.

KUDRAT ORANG MUDA

Mengimbau kembali keputusannya untuk menjadi pesawah, Mohd Amirul yang merupakan satu-satunya petani dalam keluarga, berkata pemerhatiannya semasa membantu penduduk kampung meracun dan membaja sawah mereka mendapati sekitar 70 peratus pesawah di tempat beliau adalah warga tua.

"Golongan ini sudah kurang kudrat dan kalau bersawah pun hasil hanya sekitar tiga hingga empat tan sehektar bagi setiap musim. Kalau orang muda macam saya, jika buat betul-betul, boleh dapat hasil 9.0 hingga 9.5 tan sehektar," katanya yang percaya masalah sama turut berlaku di kawasan lain.

Beliau bukan bercakap kosong kerana daripada hasil jualan padinya pesawah muda ini berjaya memperoleh empat buah traktor, dua buah lori serta sebuah dron penyembur racun dengan kos keseluruhan RM350,000.

"Ini adalah pelaburan untuk saya tingkatkan pengeluaran padi serta mempercepat pergerakan hasil tuaian kepada pembekal," ujarnya.

Sembilan tan padi sehektar semusim

Bagi memastikan pulangan yang memuaskan, beliau menggunakan benih padi daripada baka berkualiti tinggi, iaitu MR219 dan MR297. Hasilnya, sawah beliau berjaya mengeluarkan hasil kira-kira sembilan tan sehektar pada setiap musim.

Mohd Amirul yang menanam padi dua kali setahun, berkata secara purata beliau meraih pendapatan sekitar RM6,000 sebulan.

BERMANDI KERINGAT

Tidak kisah bermandi keringat di bawah matahari, bapa kepada seorang anak itu berkata beliau memulakan kerja sekitar 7 pagi dan hanya pulang selepas lewat petang.

Mengakui bekerja sebagai petani "tidak berkesudahan", Mohd Amirul berkata selepas selesai menanam anak padi, rutin beliau ialah melakukan kerja-kerja penjagaan termasuk membaja dan meracun selain memastikan tanaman terpelihara daripada penyakit padi bawaan kulat, bakteria dan makhluk perosak.

"Penyakit karah padi antara ancaman utama (pesawah) yang berpunca daripada serangan kulat jenis Pyricularia oryzae. Kulat ini boleh menyerang tanaman padi sehingga membuatkan daun pokok padi terdapat simptom berbintik diamond dan mampu mengurangkan mutu hasil padi, sekali gus membawa kerugian besar kepada pesawah," ujarnya.

Selain itu, golongan petani juga berdepan risiko bencana alam, dan Mohd Amirul berkata antara pengalaman yang tidak boleh dilupakan ialah kejadian banjir yang berlaku pada 2010.

"Masih segar dalam ingatan ketika peristiwa itu berlaku. Saya bagaikan hendak pengsan akibat kehilangan sumber pendapatan utama bagi menyara keluarga. Mana tidaknya, sawah seluas empat hektar yang diusahakan selama ini habis musnah tidak tersisa dan terpaksa dibuat penanaman semula," kongsinya, menambah bencana itu menyebabkan beliau kerugian lebih RM20,000.

Namun, katanya kejadian itu tidak mematahkan semangat beliau untuk terus berkecimpung dalam dunia pertanian.

"Memang memenatkan (bekerja dalam bidang pertanian), namun alah bisa tegal biasa. Apa juga masalah yang timbul dapat ditangani dengan pengalaman yang mendewasakan serta bantuan pihak berkepentingan seperti MADA," ujarnya.

Malah kata beliau, MADA memainkan peranan besar dalam kejayaan yang dikecapinya sekarang menerusi bimbingan dan pelbagai insentif yang diberikan kepada petani muda sepertinya.

"Saya menyertai MADA sekitar 2012, dan tidak dinafikan begitu banyak bantuan yang saya terima, antaranya ialah modal pusingan untuk pajak sawah yang mencecah ribuan ringgit serta subsidi baja. Saya tidak akan dapat melupakan jasa mereka yang banyak membantu pesawah padi sehingga kami semua mampu menjadi petani yang berjaya," tambahnya lagi.

Bercerita tentang masa depan, Mohd Amirul merancang untuk menambah keluasan sawahnya.

"Saya akan usahakan untuk tambah relung sawah dalam masa terdekat dengan menyewa lebih banyak bendang daripada mereka yang ada sawah tetapi tidak dapat bertanam padi.

"Saya juga berharap usaha saya ini dapat membantu meningkatkan tahap sosioekonomi penduduk melalui kerja sambilan di sawah seperti membajak, membaja dan menyembur racun," kata beliau yang kini dibantu oleh dua orang pekerja.

BANTU PERKASA INDUSTRI PADI

Sementara itu, Pengerusi MADA Datuk Dr Ismail Salleh ketika dihubungi, berkata pihaknya sentiasa berusaha menyumbangkan ilmu dan tenaga berkaitan amalan penanaman padi serta penggunaan teknologi kepada sebahagian besar petani.

MADA bertanggungjawab menguruskan Kawasan Muda, iaitu jelapang padi terbesar negara dengan keluasan 143,553 hektar. Daripada jumlah itu, 100,641 hektar merangkumi kawasan penanaman padi di Kedah dan Perlis. Setakat ini, terdapat 54,886 pesawah di bawah agensi itu.

"Bagi menguruskan jelapang padi sebesar ini yang menjadi penyumbang hampir 40 peratus pengeluaran padi negara setahun, MADA sentiasa komited melakukan pelbagai program peningkatan hasil padi yang turut berdepan ancaman berterusan seperti persaingan guna tanah dengan sektor sosioekonomi lain termasuk perindustrian dan perumahan.

"Antara fokus utama kami ialah pelaksanaan Program Penanaman Padi Skala Besar (PPSB) yang merupakan inisiatif MADA dan kerajaan bagi membantu meningkatkan hasil melalui pengurusan secara berpusat dalam skala yang besar selain mengurangkan kos pengeluaran padi," katanya.

Setakat ini, seramai 4,226 petani (7.7 peratus) di Kawasan Muda mengusahakan sawah berkeluasan lebih 4.5 hektar masing-masing.

Selain itu, MADA turut menyambut baik cadangan kerajaan untuk melaksanakan penanaman padi sebanyak lima kali dalam tempoh dua tahun bagi mengurangkan kebergantungan pada beras import.

Sebagai permulaan, MADA telah melaksanakan Projek Penanaman Padi 5 x 2 tahun di kawasan seluas 213.99 hektar melibatkan penyertaan 165 orang pesawah.

PERTINGKAT POTENSI PETANI

Menurut Ismail, MADA tidak hanya memfokuskan pada pembangunan industri padi, tetapi turut mengendalikan pelbagai program keusahawanan tani melibatkan usahawan tempatan serta pembekal perkhidmatan.

"Antara aktiviti yang dijalankan ialah Program Pembangunan Modal Insan, Peningkatan Kapasiti Pengeluaran, Pemodenan Infrastruktur dan Peralatan, Pensijilan dan Akreditasi, serta Program Promosi dan Jualan.

"Setakat ini, MADA telah membimbing 2,586 usahawan yang terdiri daripada usahawan pengeluaran produk asas tani seperti makanan dan kuih tradisional, tanaman, ternakan dan akuakultur serta agropelancongan dengan nilai jualan RM 169.6 juta setahun," katanya.

MADA juga menawarkan pelbagai geran bantuan, antaranya ialah Program Agropreneur Muda dan Program Agropelancongan bagi merancakkan penyertaan generasi muda dalam industri pertanian negara. – BERNAMA

Berita Harian X