Ahad, 3 Disember 2023 | 5:33pm
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing (dua kanan) pada sambutan Hari Batik Malaysia 2023 di Kompleks Kraf Tangan Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Hazreen Mohamad
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing (dua kanan) pada sambutan Hari Batik Malaysia 2023 di Kompleks Kraf Tangan Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Hazreen Mohamad

Pelancong China dipantau susulan kemunculan `white lung syndrome'

KUALA LUMPUR: Kerajaan sedia menerima peningkatan kemasukan pelancong China walaupun wujud dakwaan ancaman kesihatan susulan peningkatan penyakit misteri berkaitan pernafasan dan radang paru-paru di negara berkenaan.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing, berkata kawalan dan pemantauan kesihatan untuk pelancong asing termasuk dari China sentiasa disiap siagakan di pintu-pintu masuk negara oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"KKM sudah buat kawalan (buat pemantauan), sudah sediakan mesin

pengimbas suhu badan dan perkara-perkara lain yang sepatutnya.

"Di negara China juga sudah dinaik taraf dalam persediaan mereka (di pintu masuk negara) berhubung isu berkenaan," katanya selepas sambutan Hari Batik Malaysia 2023 di Kompleks Kraf Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pengarah Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (Kraftangan Malaysia), 'Ainu Sham Ramli.

Kerajaan sebelum ini memutuskan memberi pengecualian visa selama 30 hari kepada pelancong dari China dan India mulai Jumaat lalu dalam usaha merancakkan penganjuran Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) tahun hadapan.

Walaupun bakal memberi impak baik kepada industri pelancongan negara, timbul kebimbangan mengenai ancaman kesihatan yang mungkin dibawa pelancong dari negara China.

Ini susulan terdapat laporan mengenai peningkatan penyakit berkaitan pernafasan dan radang paru-paru membabitkan kanak-kanak di utara negara berkenaan yang dikaitkan dengan 'white lung syndrome' atau sindrom tompokan putih paru-paru.

King Sing dalam masa sama mahu semua pihak termasuk media sosial tidak terlalu memutar belitkan isu berkenaan sehingga boleh menimbulkan kebimbangan awam seterusnya menjejaskan ekonomi negara.

Mengenai sambutan Hari Batik Malaysia 2023, beliau berkata pihaknya mahu Kraftangan Malaysia lebih agresif membantu usahawan batik meningkatkan pengeluaran batik negara untuk pasaran luar negara.

"Kita adakan perbicangan dengan Ketua Pengarah (Kraftangan Malaysia) untuk naikan taraf 'skills' (kemahiran) dalam menghasilkan batik.

"Sebolehnya kita mahu tingkatkan lagi eksport batik Malaysia ke negara lain dan sempena hubungan bilateral antara Malaysia dengan negara China, maka kita merancang untuk hasilkan rekaan dan koleksi khas batik," katanya.

King Sing berkata rekaan dan koleksi khas itu bagi melambangkan hubungan baik antara dua negara sempena sambutan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik Malaysia-China pada tahun 2024.

Berita Harian X