Ahad, 3 Disember 2023 | 2:49pm
Menteri Besar yang juga Naib Presiden UMNO, Datuk Wan Rosdy Wan Ismail ditemui media di Kuantan. - Foto Asrol Awang
Menteri Besar yang juga Naib Presiden UMNO, Datuk Wan Rosdy Wan Ismail ditemui media di Kuantan. - Foto Asrol Awang

UMNO kena akur pilihan rakyat Kemaman - Wan Rosdy

KUANTAN: UMNO kena akur dengan kekalahan dan menerima keputusan rakyat pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman, semalam.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata kekalahan itu diterima dengan hati terbuka selepas rakyat Kemaman membuat keputusan berkenaan.

"Kita ucapkan tahniah kepada PAS, rakyat sudah buat keputusan dan kita akur (tewas) pada PRK Kemaman ini," katanya ketika diminta mengulas kekalahan Barisan nasional (BN) kepada PAS pada PRK Kemaman.

Wan Rosdy yang juga Menteri Besar berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Pusat 4S Chery Malaysia dan melancarkan kenderaan elektrik (EV) Omoda ES keluaran Chery di kawasan perindustrian Semambu, di sini, hari ini.

Pada PRK Kemaman, calon BN, Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor tewas kepada calon PAS yang juga Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dengan majoriti 37,220 undi.

Ahmad Samsuri yang juga Naib Presiden PAS memperoleh 64,998 undi berbanding 27,778 diperoleh lawannya itu.

Ditanya kemungkinan kerajaan negeri akan beralih kepada kenderaan EV pada masa akan datang, Wan Rosdy berkata, kerajaan negeri tiada masalah sekiranya ia memberikan kebaikan.

Bagaimanapun, katanya, keputusan itu tidak boleh dilakukan secara terburu-buru kerana ia membabitkan kewangan kerajaan.

"Kita akan fikirkan kerana kerana keputusan tidak boleh terburu-buru, ia membabitkan duit kerajaan dan kena lebih berhati-hati.

"Jika lebih baik daripada yang lain-lain, tiada masalah kerajaan memikirkan kenderaan elektrik tetapi bukan dalam masa terdekat," katanya.

Berita Harian X