Ahad, 3 Disember 2023 | 12:45pm
Roslina Kohamad, 42, yang sarat mengandung lapan bulan terpaksa mengambil risiko tidur di rumah walaupun perkarangan luar rumahnya sudah dilanda banjir sejak beberapa hari kerana terpaksa duduk di tingkat 3 PPS. - Foto NSTP/Nik Abdullah Nik Omar
Roslina Kohamad, 42, yang sarat mengandung lapan bulan terpaksa mengambil risiko tidur di rumah walaupun perkarangan luar rumahnya sudah dilanda banjir sejak beberapa hari kerana terpaksa duduk di tingkat 3 PPS. - Foto NSTP/Nik Abdullah Nik Omar

Wanita sarat mengandung diberi tingkat 3 di PPS, pilih tidur di rumah

RANTAU PANJANG: Seorang wanita sarat mengandung lapan bulan terpaksa mengambil risiko tidur di rumah walaupun perkarangan luar rumahnya sudah dilanda banjir hampir 1 meter sejak beberapa hari lalu.

Roslina Kohamad, 42, terpaksa mengambil tindakan itu memandangkan pusat pemindahan sementara (PPS) yang didaftarkan iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Baroh Pial memberikannya khemah penginapan di tingkat tiga memandangkan kawasan bawah sudah penuh.

"Disebabkan itu hanya suami yang tidur di PPS berkenaan dan setakat ini saya masih bertahan berada di rumah memandangkan tidak larat untuk memanjat tangga, selain terpaksa berulang alik ke tandas.

"Ketika proses pendaftaran kelmarin, saya ada memaklumkan sarat mengandung dan kini hanya menghitung hari untuk bersalin memandangkan tarikh bersalin dijadualkan pada 15 Januari depan.

"Namun disebabkan kawasan bawah sudah penuh, kami lima beranak diberi tempat di tingkat tiga. Untuk masa ini hanya suami bersama dua anak tidur di sana manakala saya dan anak bongsu berada di rumah selagi keadaan air masih terkawal," katanya ditemui di Kampung Berek Pak Tua Long, hari ini.

Roslina bagaimanapun berkata, dia akan berpindah ke PPS sekiranya paras air semakin naik dan keadaan membahayakan.

"Alhamdulillah setakat ini masih terkawal dan disebabkan itu saya masih berani berada di rumah. Malah, suami juga sering pulang melihat keadaan saya.

"Situasi berpindah ke PPS bukan perkara baru memandangkan setiap tahun rumah dilanda banjir dan boleh dikatakan tahun ini agak lewat berlaku banjir berbanding tahun sebelumnya," katanya.

Berita Harian X