Ahad, 3 Disember 2023 | 12:39pm
Menteri Besar Terengganu yang juga calon PAS, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar (berdiri tengah, berbaju hitam) meraikan kemenangan di PRK Kemaman bersama penyokong di Arena Square, Chukai, malam tadi. - Foto NSTP/Ghazali Kori.
Menteri Besar Terengganu yang juga calon PAS, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar (berdiri tengah, berbaju hitam) meraikan kemenangan di PRK Kemaman bersama penyokong di Arena Square, Chukai, malam tadi. - Foto NSTP/Ghazali Kori.

Faktor MP pembangkang kena 'buli' antara dorong kemenangan PAS di Kemaman - Takiyuddin

KOTA BHARU: PAS sifatkan kemenangan Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman dengan majoriti lebih besar bukan setakat membuktikan penerimaan terhadap kedudukannya sebagai Menteri Besar Terengganu, malah mengesahkan momentum sokongan semakin meningkat kepada Perikatan Nasional (PN).

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassaan berkata ia juga adalah referendum penolakan rakyat terhadap kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan gabungan Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN).

"Dalam konteks PRK Kemaman ini, undi yang diperolehi oleh calon PH-BN sebanyak 27,778 yang mewakili tahap sokongan 30 peratus adalah jauh lebih rendah berbanding undi yang didapati oleh kedua-dua PH dan BN dalam PRU15 lepas, iaitu masing-masing sebanyak 8,340 dan 38,535 undi yang mewakili sokongan 41 peratus.

"Dengan kata lain, gabungan PH-BN bukan sahaja gagal meraih sokongan baharu, tetapi terus kehilangan sokongan yang pernah dinikmatinya sebelum ini berdasarkan penurunan ketara dicatatkan di Kemaman.

"Selain faktor kecelaruan pentadbiran, PAS percaya keputusan PRK Kemaman kali ini juga adalah penolakan pengundi terhadap `politik dana peruntukan' serta helah tidak bermaruah Putrajaya menggunakannya untuk memaksa dan membuli Ahli Parlimen pembangkang serta kerajaan negeri yang tidak sehaluan supaya tunduk dan menyokongnya," katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.

Pada PRK Kemaman yang berakhir semalam, Ahmad Samsuri yang juga Naib Presiden PAS menang dengan majoriti 37,220 undi, menewaskan calon BN, Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor.

Beliau memperoleh 64,998 undi berbanding 27,778 diperoleh lawannya itu.

Mengulas lanjut, Takiyuddin berkata adalah jelas kerajaan Pusat terus gagal mendapat sokongan dan kepercayaan rakyat walaupun selepas satu tahun berkuasa.

Katanya, PAS sebaliknya kekal komited kepada politik matang, bermaruah dan demokratik bukan sahaja dalam peranannya sebagai blok pembangkang di Parlimen, tetapi juga sebagai kerajaan di negeri-negeri yang ditadbirnya atas kepercayaan bahawa ia adalah pendekatan terbaik untuk kepentingan negara dan rakyat.

"PAS juga bersedia untuk memikul tanggungjawab yang lebih besar di peringkat nasional apabila keadaan menghendaki sedemikian susulan kegagalan berterusan Putrajaya untuk memastikan rakyat dan negara terlindung daripada kesan negatif tindak-tanduk kerajaan sendiri mahu pun perkembangan yang berlaku di dunia luas," katanya.

Takiyuddin turut berterima kasih kepada pengundi yang memilih Ahmad Samsuri dan petugas, penyokong parti, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), pasukan keselamatan dan agensi-agensi terbabit dalam menjayakan PRK serta memastikan ia berjalan dengan lancar dan selamat.

Berita Harian X