Sabtu, 2 Disember 2023 | 11:06pm
Hadi (kiri) ingatkan Ahmad Samsuri bahawa tanggungjawab lebih besar menanti selepas kejayaan di Kemaman. - Foto ihsan Facebook Abdul Hadi Awang
Hadi (kiri) ingatkan Ahmad Samsuri bahawa tanggungjawab lebih besar menanti selepas kejayaan di Kemaman. - Foto ihsan Facebook Abdul Hadi Awang

Tanggungjawab lebih besar menanti Dr Sam - Hadi Awang

KUALA LUMPUR: Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang menyifatkan kemenangan PAS pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman dengan majoriti lebih besar menjadi isyarat jelas kepada penolakan rakyat terhadap Kerajaan Perpaduan.

Abdul Hadi turut mengingatkan calon mewakili PAS yang menang di Kemaman iaitu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar bahawa tanggungjawab lebih besar menanti Menteri Besar Terengganu itu dengan kejayaan terbabit.

"Alhamdulillah, terima kasih kepada semua pengundi atas kemenangan besar dalam PRK Kemaman.

"Tahniah kepada jentera pilihan raya yang bertugas dengan penuh kesungguhan bagi memastikan kemenangan terus berpihak kepada PAS dan Perikatan Nasional (PN).

"Kepada Dr Samsuri, tanggungjawab lebih besar menanti," katanya melalui hantaran di Facebook, hari ini.

Ahmad Samsuri yang juga Naib Presiden PAS menang dengan majoriti 37,220 undi hasil kiraan daripada 249 keseluruhan peti undi bagi PRK itu.

Ahmad Samsuri mendapat 64,998 undi, manakala lawannya dari BN, Jen (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor mendapat 25,023 undi.

Majoriti diperoleh calon PAS kali ini jauh lebih tinggi berbanding penyandang sebelum ini, Che Alias Hamid yang memperoleh majoriti 27,179 undi.

Berita Harian X