Sabtu, 2 Disember 2023 | 9:21pm

Dr Sam menang PRK Kemaman dengan majoriti 37,220 undi

CHUKAI: PAS mengekalkan penguasaan di Parlimen Kemaman apabila calonnya Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menang dengan majoriti 37,220 undi hasil kiraan daripada keseluruhan 249 peti undi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) itu.

Keputusan itu diumumkan Pegawai Pengurus PRK Parlimen Kemaman, Ahmad Farhan Abdul Wahab di Dewan Berlian Utama Majlis Perbandaran Kemaman, sebentar tadi.

Ahmad Samsuri yang juga Menteri Besar Terengganu mendapat 64,998 undi manakala lawannya dari calon BN, Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor dengan 27,778 undi.

Majoriti yang diperoleh calon PAS kali ini melebihi 10,041 undi berbanding penyandang sebelum ini, Che Alias Hamid yang memperoleh majoriti sebanyak 27,179 undi.

"Sebanyak 428 kertas undi ditolak dengan jumlah keluar mengundi adalah sebanyak 65.76 peratus," katanya.

Jumlah undi yang diterima dalam PRK Kemaman ialah 92,776 atau bersamaan 65.76 peratus daripada keseluruhan 141,790 pengundi berdaftar.

Sebelum ini Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan peratusan keluar mengundi bagi PRK Kemaman sehingga jam 4 petang adalah 60 peratus.

Penyokong PAS berkumpul mendengar keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman di Arena Square, Chukai. - NSTP/Ghazali Kori
Penyokong PAS berkumpul mendengar keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman di Arena Square, Chukai. - NSTP/Ghazali Kori

Untuk rekod, kerusi Parlimen Kemaman sebelum ini diwakili BN menerusi Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek selama tiga penggal, sebelum bertukar tangan kepada Che Alias pada PRU14.

Pada PRU15, Che Alias berjaya mempertahankan kerusi Parlimen Kemaman apabila menewaskan bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said dengan memperoleh majoriti sebanyak 27,179 undi.

Che Alias memperoleh undi 65,714 undi, manakala Ahmad mendapat 38,535 undi. Bagaimanapun, kemenangan Che Alias terbatal selepas Mahkamah Pilihan Raya pada 26 September lalu menerima petisyen difailkan calon BN, Wan Mohamad Hisham Wan Abdul Jalil.

Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu merangkap Hakim Pilihan Raya, Anselm Charles Fernandis menerima dakwaan pempetisyen di dalam Petisyen Pilihan Raya bahawa terdapat sogokan di beberapa majlis rasmi Kerajaan Negeri Terengganu melalui dana bantuan i-Belia dan i-Siswa yang diagihkan kepada pengundi semasa tempoh berkempen PRU15 untuk meraih undi kepada Che Alias.

Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berjaya memenangi kerusi Parlimen Kemaman. - Foto BERNAMA
Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berjaya memenangi kerusi Parlimen Kemaman. - Foto BERNAMA

Calon PAS, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar memenangi PRK Kemaman, sekaligus mempertahankan kerusi yang dimenangi parti itu pada PRU15 lalu. - NSTP/Rohanis Shukri
Calon PAS, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar memenangi PRK Kemaman, sekaligus mempertahankan kerusi yang dimenangi parti itu pada PRU15 lalu. - NSTP/Rohanis Shukri


LAGI GAMBAR SEKITAR PENGUNDIAN PRK KEMAMAN

Calon PAS Parlimen Kemaman, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar (tengah) meraikan kemenangan bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman di Arena Square, Chukai. - NSTP/Ghazali Kori
Calon PAS Parlimen Kemaman, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar (tengah) meraikan kemenangan bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman di Arena Square, Chukai. - NSTP/Ghazali Kori
Berita Harian X