Sabtu, 2 Disember 2023 | 7:23pm
 Ewon Benedick (dua dari kiri) menyerahkan Anugerah Kategori Khas kepada YBR diwakili Pengerusinya, Datuk Philip Benedict Lasimbang dan Pengurus Besar YBR, Syaiful Rizal Abdul Ghani.
Ewon Benedick (dua dari kiri) menyerahkan Anugerah Kategori Khas kepada YBR diwakili Pengerusinya, Datuk Philip Benedict Lasimbang dan Pengurus Besar YBR, Syaiful Rizal Abdul Ghani.

Yayasan Bank Rakyat terima anugerah tertinggi CSR

KUALA LUMPUR: Yayasan Bank Rakyat (YBR) menerima Anugerah Kategori Khas Champion CSR Award 2023 sempena Anugerah Kecemerlangan Perniagaan Bumiputera (BBEA) 2023.

Pengiktirafan diberi atas kemampanan inisiatif dijalankan YBR dalam meningkat sosioekonomi rakyat Malaysia melalui pendidikan serta program kemasyarakatan yang dijalankan sepanjang tahun bagi membantu mereka yang kurang bernasib baik.

Anugerah ini disampaikan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick kepada Pengerusi YBR, Datuk Philip Benedict Lasimbang.

Turut hadir Pengurus Besar YBR, Syaiful Rizal Abdul Ghani; Ketua Bahagian Pentadbiran Korporat YBR, Khairul Na'im Arifin dan Pengurus Jabatan Komunikasi Korporat, Mohamad Ghazali Zainal Abidin.

Philip berkata, anugerah berkenaan adalah satu pencapaian dalam melaksanakan tanggungjawab sosial korporat sepanjang tahun dan diharap menjadi penanda aras untuk YBR terus membantu masyarakat tanpa mengira bangsa, kaum dan agama.

"Pengiktirafan ini dapat meningkatkan komitmen untuk terus berkhidmat kepada masyarakat yang memerlukan dan secara tidak langsung mengukuhkan lagi kredibiliti YBR secara domestik".

"Kami akan sentiasa menggandakan usaha serta strategi dalam membantu meningkatkan kesejahteraan sosioekonomi rakyat Malaysia melalui pembangunan pendidikan, pemerkasaan masyarakat serta bantuan penjagaan kesihatan," katanya melalui kenyataan.

Beliau berkata, sepanjang 2022 YBR membelanjakan RM28.02 juta sebagai peruntukan bantuan pendidikan dan masyarakat.

Katanya, penghormatan diterima adalah impak positif atas penglibatan dan komitmen YBR yang cakna kepada mereka yang kurang bernasib baik serta menyuntik semangat untuk terus mengekalkan prestasi sedia ada.

YBR mengucapkan terima kasih kepada semua yang terbabit secara langsung atau tidak dalam menjadi sebahagian kejayaan ini.

Difahamkan, lebih 60 perniagaan, jenama dan tokoh korporat tempatan mewakili pelbagai industri diiktiraf sempena BBEA 2023 yang berlangsung 30 November lalu.

Berita Harian X