Sabtu, 2 Disember 2023 | 4:12pm
Balad bersama produk batiknya pada Sambutan Hari Batik Malaysia.
Balad bersama produk batiknya pada Sambutan Hari Batik Malaysia.

Kemeriahan Sambutan Hari Batik Malaysia 2023

Kuala Lumpur: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (Kraftangan Malaysia) menganjurkan sambutan Hari Batik Malaysia 2023 di Kompleks Kraf, di sini.

Sambutan itu diadakan sejak Khamis lalu (30 November) hingga Isnin ini dari jam 10 pagi sehingga jam 10 malam.

Sambutan Hari Batik Malaysia diadakan bersempena pengisytiharan Hari Batik Malaysia pada 3 Disember setiap tahun dan penganjuran kali ini adalah kali ketiga.

Ketua Pengarah Kraftangan Malaysia, 'Ainu Sham Ramli, berkata dengan tema 'Ini Batik Malaysia', sambutan itu bertujuan memartabat dan memperkasakan industri kraf batik di negara ini.

Ketua Pengarah Kraftangan Malaysia, ‘Ainu Sham Ramli.
Ketua Pengarah Kraftangan Malaysia, ‘Ainu Sham Ramli.

Beliau berkata, ia juga bagi meningkatkan lagi kesedaran dan penggunaan batik Malaysia dalam kalangan rakyat sekali gus dapat memelihara seni warisan negara.

"Pengisytiharan Hari Batik Malaysia memperlihatkan semangat jati diri rakyat Malaysia yang menghargai kraf warisan tempatan.

"Ia juga secara tidak langsung memberi limpahan ekonomi kepada usahawan dan komuniti kraf batik dan pada masa sama melonjakkan industri kraf negara," katanya.

'Ainu Sham berkata, antara pengisian aktiviti dilaksanakan adalah Jualan Kraf Batik, Jualan Rahmah Batik pada 3 Disember, Pameran Kraf, Demonstrasi Kraf Batik.

Program Jualan Rahmah

Interaktif Kraf, Jom Membatik, Batik Malaysia Treasure Hunt pada hari ini (2 Disember), Zumbatik yang akan diadakan pada 3 Disember dan Persembahan Kesenian.

"Kelainan sambutan pada kali ini ialah Jualan Rahmah Batik yang akan diadakan pada esok (3 Disember) dengan menawarkan harga di bawah RM100 bagi produk kraf batik seperti kemeja lelaki, kain pasang, blaus, kardigan dan banyak lagi," katanya.

Hari Batik Malaysia 2023 juga disambut serentak di semua Kraftangan Malaysia cawangan negeri dan Kompleks Kraf Langkawi.

Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni Dan Budaya, Datuk Roslan Abdul Rahman diiringi ‘Ainu Sham melawat jualan komuniti kraf baharu sempena Sambutan Hari Batik Malaysia 2023 selepas acara ‘flag off’ aktiviti Jom Membatik di di Kompleks Kraf Kuala Lumpur. - Foto Sadiq Sani/BH
Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni Dan Budaya, Datuk Roslan Abdul Rahman diiringi ‘Ainu Sham melawat jualan komuniti kraf baharu sempena Sambutan Hari Batik Malaysia 2023 selepas acara ‘flag off’ aktiviti Jom Membatik di di Kompleks Kraf Kuala Lumpur. - Foto Sadiq Sani/BH

Sambutan itu juga turut diadakan di pusat beli-belah seperti AEON Mall Manjung, Perak; KB Mall, Kelantan; One Borneo Kota Kinabalu, Sabah dan Freeport A'Famosa Outlet, Melaka.

Aktiviti di peringkat negeri turut membabitkan Jualan Rahmah Batik, Pameran Kraf dan Demonstrasi Kraf Batik, Interaktif Kraf dan Jom Membatik.

Sementara itu, usahawan batik tanah liat dari Tapah, Perak, yang berpeluang menyertai sambutan Hari Batik itu, Normah Ali, 50, berkata dia menyertai industri batik sejak lima tahun lalu, selepas berhenti menjadi guru di sebuah sekolah di Cheras.

Normah menunjukkan produk batiknya pada Sambutan Hari Batik Malaysia 2023 di Kompleks Kraf Kuala Lumpur.
Normah menunjukkan produk batiknya pada Sambutan Hari Batik Malaysia 2023 di Kompleks Kraf Kuala Lumpur.

"Selepas berhenti kerja, saya mengambil keputusan menyertai pusat jahitan di Tapah bagi mengisi masa dan menghasilkan batik dengan motif alam dijadikan pakaian, beg dan aksesori wanita," katanya yang menjual batik menerusi dalam talian.

Jadi tenaga pengajar

Normah berkata, ketika ini banyak juga pihak sekolah yang menjemput dia dan rakannya mengadakan pameran batik di sekolah, selain mengadakan demonstrasi pembuatan batik.

"Selain memperoleh pendapatan melalui kraf batik ini, saya juga bersyukur dengan ilmu yang ada, kini dipanggil menjadi tenaga pengajar," katanya.

Bagi Balad Lasong, 61, dari Lawas, Sarawak berkata, dia baru menceburi industri batik itu kira-kira setahun lalu, sebaik bersara wajib sebagai guru tabika.

"Saya mempelajari cara membuat batik yang akan dijadikan pakaian, topi, tudung, kipas dan pelbagai aksesori dari Kraftangan Malaysia Cawangan Negeri Sarawak yang banyak memberi tunjuk ajar," katanya.

Dia yang berasal dari suku Lun Bawang berkata, pada Ogos lalu dia mula mempelajari membuat batik linut dengan motif Lawas.

Katanya, batik dengan motif itu baharu diperkenalkan di Sarawak beberapa bulan lalu, sempena nama kawasan berkenaan.

"Batik linut dengan motif Lawas ini masih baru dan motif yang digunakan seperti tumbuh-tumbuhan dan bunga," katanya.

Balad berkata, selain mempromosikan batik jenis itu menerusi dalam talian, dia juga aktif mengikut program yang dianjurkan oleh Kraftangan Malaysia Cawangan Negeri Sarawak.

"Melihatkan potensi batik Malaysia, saya juga berhasrat meluaskan lagi pasaran batik ini dan berharap mendapat bantuan yang sewajarnya seperti mesin jahit," katanya.

Berita Harian X