Sabtu, 2 Disember 2023 | 3:59pm
Ketua Armada BERSATU, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.
Ketua Armada BERSATU, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.

10 MP kerajaan akan sokong PN? - Ini reaksi Wan Ahmad Fayhsal

KUALA LUMPUR: Ketua Armada BERSATU, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, menafikan dakwaan kononnya 10 Ahli Parlimen daripada blok kerajaan bakal beralih sokongannya kepada Perikatan Nasional (PN) bagi membentuk kerajaan baharu.

Sebaliknya, beliau yang juga Ahli Parlimen Machang menegaskan apa yang disuarakan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) BERSATU, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof itu tidak lebih sekadar khabar angin yang tidak ada asas sama sekali.

"Ini berita daripada seorang pemimpin kanan BERSATU yang bukan Ahli Parlimen. Sudah tentulah beliau (Mohd Redzuan) hanya dengar entah khabar dari mana.

"Saya menafikan sekeras-kerasnya tentang hal ini. Saya menafikan khabar angin yang tidak ada asas sama sekali.

"Kerana apa (saya nafi)... kita pun tahu lima Ahli Parlimen BERSATU sudah menyokong (Datuk Seri) Anwar Ibrahim.. celah mana kita dapat tubuh kerajaan atau pun mahu mendapatkan sokongan Ahli (Parlimen) UMNO," katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata mengulas dakwaan Mohd Redzuan seperti dilapor beberapa portal berita hari ini bahawa lebih 10 Ahli Parlimen dari blok kerajaan bakal beralih sokongan terhadap PN untuk membentuk kerajaan baharu, termasuk wakil rakyat dari PKR.

Mengulas lanjut, Wan Ahmad Fayhsal berkata, Ahli Parlimen BERSATU komited untuk terus memainkan peranan sebagai wakil rakyat pembangkang, selain menyedari kedudukan terkini Anwar yang sudah memperoleh dua pertiga sokongan di Dewan Rakyat.

"Jadi di peringkat kami sebagai Ahli Parlimen BERSATU, kita komited untuk menjadi Ahli Parlimen pembangkang. Itulah tanggungjawab kami ketika ini.

"Dia (Mohd Redzuan) bukan Ahli Parlimen, dia hanya respon perkara yang mungkin berlaku terhadap Ahli Parlimen BERSATU.

"Sekarang ini Anwar ada dua pertiga majoriti, jadi bagaimana (Ahli Parlimen kerajaan) mahu lari (beralih sokongan) dan sebagainya," katanya.

Sebelum ini lima Ahli Parlimen BERSATU menyatakan sokongan kepada Anwar, menjadikan keseluruhan 152 sokongan diterima Perdana Menteri di Dewan Rakyat daripada Ahli Parlimen ketika ini, melebihi 148 angka majoriti dua pertiga.

Sementara itu, Mohd Redzuan ketika dihubungi untuk mendapatkan perincian mengenai dakwaan dibuat beliau itu, sebaliknya enggan mengulas lanjut.

"Tiada komen lanjut," katanya ringkas.

Terdahulu, Mohd Redzuan dilapor mendakwa, spekulasi peralihan sokongan Ahli Parlimen kerajaan kepada PN atau pembangkang itu bukan sekadar cakap kosong, susulan beliau turut dimaklumkan terdapat perbincangan secara dalaman dalam kalangan pucuk pimpinan.

Katanya, lebih 10 Ahli Parlimen daripada parti-parti Kerajaan Perpaduan termasuk PKR dipercayai menjadi kelompok pertama bakal menyatakan sokongan terhadap blok pembangkang, seterusnya diikuti kelompok Ahli Parlimen kerajaan lain.

Berita Harian X