Sabtu, 2 Disember 2023 | 1:52pm
IPOH, 2 Dis -- Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming (tengah) menyerahkan nota Garis Panduan Perancangan Perkhemahan (GPP) kepada Datuk Bandar Ipoh Datuk Rumaizi Baharin (tiga, kiri) pada majlis pelancarannya di Taman D.R. Seenivasagam hari ini.
IPOH, 2 Dis -- Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming (tengah) menyerahkan nota Garis Panduan Perancangan Perkhemahan (GPP) kepada Datuk Bandar Ipoh Datuk Rumaizi Baharin (tiga, kiri) pada majlis pelancarannya di Taman D.R. Seenivasagam hari ini.

KPKT lancar Garis Panduan Perancangan tapak perkhemahan demi keselamatan pengunjung

IPOH: Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) hari ini mengeluarkan Garis Panduan Perancangan (GPP) Tapak Perkhemahan yang akan menjadi rujukan pengusaha tapak perkhemahan serta pihak berkuasa tempatan (PBT) berkaitan permohonan lesen bagi memastikan kawasan riadah selamat untuk pengunjung.

Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata bagaimanapun tempoh sehingga dua tahun bermula hari ini diberikan kepada pengusaha yang masih belum mematuhi garis panduan seperti yang ditetapkan itu.

"Bagi mereka yang belum mematuhi seperti dalam GPP ini, kita cadangkan adanya tempoh pemutihan sehingga dua tahun. Kita buat garis panduan ini bukan untuk menghukum sesiapa, sebaliknya untuk membantu mereka," katanya dalam majlis Pra Pelancaran GPP Tapak Perkhemahan di Taman Dr Seenivasagam, di sini hari ini.

Hadir sama Ketua Setiausaha KPKT, Datuk M Noor Azman Taib dan Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin.

Kor Ming berkata, GPP yang bertujuan memberi panduan perancangan tapak perkhemahan dan memperjelas proses pemajuannya dibangunkan melalui Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia) yang turut berperanan sebagai panduan pengurusan dan pengoperasian tapak perkhemahan untuk pihak berkuasa, pengusaha, dan operator serta orang awam.

Katanya, skop utama garis panduan itu merangkumi perancangan tapak perkhemahan, mekanisme pemajuan dan kawal selia tapak, dan pengurusan operasi tapak perkhemahan yang turur menggariskan beberapa elemen penting dalam perancangan tapak perkhemahan.

Ia termasuk kesesuaian lokasi, kesesuaian tapak, peletakan plot khemah, penyediaan kemudahan asas, dan penyediaan utiliti yang bersesuaian.

Kor Ming berkata, beberapa langkah proaktif juga tersedia serta boleh dipertimbangkan menerusi GPP itu termasuk aspek kawalan perancangan dan penguatkuasaan lebih tegas oleh PBT bagi pertimbangan kelulusan pelan pemajuan tapak selain mekanisme kawal selia seperti fi, denda, dan moratorium.

Selain isu keselamatan awam, katanya, beberapa isu utama turut dikenal pasti melalui kajian GPP itu termasuk kacau ganggu dan pencemaran alam sekitar seperti kesesakan, vandalisme, gangguan binatang liar, dan kerosakan sumber alam.

Menerusi GPP itu, antara yang digariskan bagi mekansime permohonan pemajuan dan kawal selia adalah seperti perlunya konsultasi keperluan syarat teknikal bersama agensi seperti Jabatan Mineralndan Geosains (JMG), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan sebagainya sebelum mendaftar di PBT.

Bagi pengurusan operasi tapak, antara yang digariskan adalah keperluan mendaftar masuk dengan rekod nama, talian untuk untuk dihubungi, pematuhan nisbah kakitangan bertugas dengan bilangan peserta, pelan dan alat bantuan kecemasan, dan pentelenggaraan tapak yang membabitkan kerja pemantauan dan pengukuhan cerun, penambahbaikan saliran, dan kebersihan.

GPP yang dibuat susulan kejadian tanah runtuh di kawasan tapak perkhemahan di Batang Kali pada 16 Disember tahun lalu itu, mengambil kira pandangan dan maklum balas daripada pelbagai agensi yang berkaitan termasuk PBT serta seramai 150 pengusaha tapak perkhemahan seluruh negara.

Tragedi tanah runtuh pada 16 Disember itu menyaksikan 31 terkorban dan 61 selamat daripada keseluruhan 92 mangsa yang dilaporkan dalam kejadian itu.

Berita Harian X