Sabtu, 2 Disember 2023 | 9:50am
Peniaga Milah Hussin, 49 bersama Che Mah Ghani Hashim, 51 tetap meneruskan penjualan berbagai jenis ubi kayu biarpun dalam suasana banjir berikutan setiap kali musim tengkujuh, laluan di kawasan itu sering dinaiki banjir ketika tinjauan di Kampung Sri Sentosa, Bachok semalam. - Foto NSTP/Nik Abdullah Nik Omar

Mangsa banjir di Kelantan bertambah, Johor berkurang

KUALA LUMPUR: Hujan lebat malam tadi menyebabkan beberapa kawasan di tiga jajahan di Kelantan dinaiki air seterusnya menambah bilangan mangsa banjir kepada 655 orang daripada 207 keluarga setakat 8 pagi ini, berbanding 594 orang daripada 181 keluarga malam tadi.

Menurut portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), jumlah pusat pemindahan sementara (PPS) juga bertambah kepada lima berbanding tiga malam tadi.

Di jajahan Pasir Mas, PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Gual To'Deh menempatkan 226 mangsa daripada 77 keluarga dan 64 orang daripada 26 keluarga di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Baroh Pial.

Di jajahan Bachok, 241 mangsa daripada 66 keluarga berlindung di PPS SMK Beris Panchor dan SK Jelawat pula menempatkan 114 mangsa daripada 35 keluarga manakala di jajahan Machang PPS SK Pulai Chondong menempatkan 10 mangsa daripada tiga keluarga.

Abdul Ghani Mahmood, 55 meninjau keadaan rumahnya yang dinaiki banjir sejak semalam ketika tinjauan di Kampung Sri Sentosa, Bachok semalam. - Foto NSTP/Nik Abdullah Nik Omar
Abdul Ghani Mahmood, 55 meninjau keadaan rumahnya yang dinaiki banjir sejak semalam ketika tinjauan di Kampung Sri Sentosa, Bachok semalam. - Foto NSTP/Nik Abdullah Nik Omar

Di JOHOR, jumlah mangsa banjir kilat dari lima kampung di Johor Bahru menurun sedikit kepada 565 orang 8 pagi ini, berbanding 582 orang pada 8 malam tadi.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) dalam kenyataan memaklumkan semua mangsa daripada 150 keluarga itu ditempatkan di PPS Dewan Muafakat Kampung Cahaya Baru dan SK Bukit Mutiara.

Menurut kenyataan itu, seramai 312 orang daripada 84 keluarga dari Kampung Paya Kenangan, Kampung Pasir Tebrau dan Kampung Kangkar Tebrau ditempatkan di PPS SK Bukit Mutiara.

PPS Dewan Muafakat Kampung Cahaya Baru pula menempatkan 253 orang daripada 66 keluarga dari Kampung Sentosa Damai dan Kampung Sentosa Barat.

JPBN turut memaklumkan cuaca di sekitar Johor Bahru cerah setakat 8 pagi ini.

Sementara itu, paras air Sungai Muar di Buloh Kasap, Segamat berada pada paras waspada dengan bacaan 7.95 meter. - BERNAMA

Berita Harian X