Jumaat, 1 Disember 2023 | 5:28pm
Antara kawasan ditenggelami banjir di Kelantan, hari ini. - NSTP/NIK ABDULLAH NIK OMAR
Antara kawasan ditenggelami banjir di Kelantan, hari ini. - NSTP/NIK ABDULLAH NIK OMAR

Jumlah mangsa banjir di Kelantan menurun

KOTA BHARU: Jumlah mangsa banjir di Kelantan menurun kepada 574 orang membabitkan 176 keluarga, setakat jam 5 petang tadi, berbanding 795 malam tadi.

Kesemua mereka ditempatkan di tiga pusat pemindahan sementara (PPS), iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Beris Panchor dan SK Jelawat di Bachok, serta Sekolah Kebangsaan (SK) Gual To'Deh di Rantau Panjang.

Menurut portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), PPS SMK Beris Panchor mencatat bilangan mangsa banjir tertinggi dengan 239 orang, PPS SK Gual To'Deh (226) dan PPS SK Jelawat (109).

Sementara itu, paras air Sungai Golok di Rantau Panjang pula mencecah tahap amaran 8.35 meter (m) manakala di Kuala Jambu, Tumpat pula tahap waspada (2.12m).

Dalam perkembangan berkaitan, Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) mengeluarkan amaran hujan lebat berterusan tahap waspada hingga Ahad ini diramalkan melanda Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Bachok, Machang serta Pasir Putih, sekali gus berkemungkinan besar akan meningkatkan bilangan mangsa banjir.

Berita Harian X