Jumaat, 1 Disember 2023 | 4:50pm
Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah diiringi Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah berkenan melawan Menara Merdeka 118. - Foto ihsan SElangor Royal Office
Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah diiringi Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah berkenan melawan Menara Merdeka 118. - Foto ihsan SElangor Royal Office

Sultan Selangor kagum teknologi pembinaan Menara Merdeka 118

SHAH ALAM: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan rasa kagum dengan reka bentuk dan kemajuan teknologi dalam pembinaan Menara Merdeka 118.

Menurut Selangor Royal Office, Sultan Sharafuddin diiringi Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan berangkat melawat ke bangunan kedua tertinggi di dunia itu, baru-baru ini.

Keberangkatan tiba baginda disambut Pengerusi Kumpulan Permodalan Nasional Berhad (PNB), Engku Setia Lela Bestari Raja Tan Sri Arshad Raja Tun Uda.

Baginda dibawa melawat ke tingkat 118 dan 116 untuk melihat sendiri perkembangan terkini pembinaan serta pemandangan sekitar ibu negara dari paras tertinggi menara berkenaan.

"Baginda amat kagum dengan reka bentuk dan kemajuan teknologi yang diaplikasi dalam pembinaan menara ini yang dikategorikan sepenuhnya sebagai bangunan warisan, budaya dan lestari Malaysia untuk menjadi penanda aras industri bagi ciri-ciri kelestarian, dan bakal menjadikannya mercu tanda terbaharu Kuala Lumpur.

"Baginda berbangga dengan inisiatif PNB untuk meletakkan menara ini sebaris dengan bangunan pencakar langit di dunia dan berharap agar sistem kecemasan dan keselamatan bangunan ini juga setanding dengan prestijnya," menurut kenyataan itu.

Menara Merdeka 118 setinggi 678.9 meter dibangunkan di atas kawasan seluas 400,000 meter persegi dan mula dibina pada 2016 dijangka dibuka pada penghujung tahun ini.

Baginda kemudian turut dibawa melawat Stadium Merdeka yang sedang dibangunkan semula dan terletak di dalam kawasan menara yang mengembalikan semula nostalgia baginda.

"Baginda memuji usaha PNB memulihara stadium bersejarah ini yang diilhamkan oleh Tunku Abdul Rahman sebelum merdeka itu.

"Kini, stadium itu bakal dibuka semula untuk kegunaan rakyat sekali gus melengkapi keberadaan Menara Merdeka 118," katanya.

Berita Harian X