Jumaat, 1 Disember 2023 | 4:40pm

Aman Palestin mungkin ambil tindakan mahkamah

KUALA LUMPUR: Aman Palestin Berhad (Aman Palestin) mungkin mengambil tindakan undang-undang terhadap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung pembekuan akaun pertubuhan itu bagi tujuan siasatan.

Peguam mewakili Aman Palestin, Muhammad Rafique Rashid Ali berkata tindakan itu akan dilakukan selaras dengan Seksyen 44A Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFAPUAA) 2001.

Seksyen berkenaan berkaitan pembatalan perintah membekukan harta atas permohonan orang yang dinamakan atau diperihalkan dalam perintah itu.

Peguam mewakili Aman Palestin, Muhammad Rafique Rashid Ali, berkata satu perbincangan bersama ahli lembaga pengarah Aman Palestin juga diadakan hari ini berhubung perkara itu.

Mengenai gesaan Tun Dr Mahathir Mohamad supaya SPRM melepaskan dana RM10 juta bagi bantuan musim sejuk di Palestin dan Syria, beliau berkata amaun itu sudah diumumkan pada 21 November lalu sebelum dibekukan, untuk disalurkan dalam Kempen Musim Sejuk.

"Setiap tahun Aman Palestin akan menghantar dana ke Syria, Lubnan, Yaman dan kawasan sekitar Palestin bagi menghadapi musim sejuk yang berlaku di Semenanjung Arab antara November dan Februari.

"Tahun ini kita membuat penambahan dana memandangkan situasi perang berlaku di sana.

"Malah pada tarikh 27 November lalu juga kita sudah memohon supaya amaun itu dilepaskan secara terbuka dan surat pada tarikh yang sama juga sudah diberikan.

"Justeru kami berpendapat gesaan Dr Mahathir itu tepat dan kena pada waktunya," katanya.

SPRM bagaimanapun menolak gesaan Dr Mahathir itu.

Dana berkenaan mengikut SPRM akan dibekukan sehingga siasatan selesai.

Berita Harian X