Jumaat, 1 Disember 2023 | 4:25pm
ADUN Tiram, Azizul Bachok (kanan) mengunjungi PPS di Dewan Muafakat Kampung Cahaya Baru Pasir Gudang hari ini. - Foto NSTP/Mary Victoria Dass
ADUN Tiram, Azizul Bachok (kanan) mengunjungi PPS di Dewan Muafakat Kampung Cahaya Baru Pasir Gudang hari ini. - Foto NSTP/Mary Victoria Dass

'Sekelip mata air naik'

PASIR GUDANG: "Kami berdepan detik cemas apabila banjir kilat naik sehingga hampir satu meter dengan arus deras di pekarangan rumah dalam tempoh tiga jam hujan lebat," kata seorang penduduk, Zainab Mat, 57, di Kampung Sentosa Damai di sini.

Zainab berkata, hujan mula lebat jam 11 malam dan berlarutan hingga 1 pagi mengakibatkan air naik dengan cepat selepas air sungai berhampiran dan parit depan rumah melimpah.

"Disebabkan keadaan tidak selamat, pihak bomba, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), polis dan pasukan keselamatan lain mengarahkan kami berpindah segera ke surau berdekatan sebelum ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di kampung ini.

"Sebelum berpindah, saya dan keluarga sempat menyimpan dokumen penting selain memindahkan pakaian dan beberapa perkakas rumah termasuk peti ais ke bahagian yang tinggi dalam rumah. Begitu juga motosikal dan kereta sempat diletak di kawasan atas bukit dengan bantuan pasukan keselamatan," katanya ketika ditemui di PPS Dewan Muafakat Kampung Cahaya Baru di sini hari ini.

Zainab antara 227 mangsa banjir membabitkan 80 keluarga dari Kampung Sentosa Damai dan kampung berdekatan yang dipindahkan ke PPS itu pada awal pagi tadi.

Ibu tunggal, Nurul Huda Abdul Rani, 57, berkata dia bersyukur kerana ketika hujan lebat tidak berlaku air pasang dari kawasan laut di Kong Kong yang boleh menyebabkan banjir bertambah teruk sehingga menenggelamkan rumah.

"Ketika melihat sudah hujan pada jam 10 malam tadi, saya menelefon anak lelaki yang sedang bekerja supaya balik ke rumah kerana tidak sedap hati. Air mulai naik hampir separuh meter atau separas lutut di bahagian dapur," katanya yang sudah 32 tahun menetap di kampung berkenaan.

Rahayu Supriyanto, 34, berkata penduduk kampung akan bersiap sedia setiap kali musim tengkujuh dengan berjaga pada sebelah malam supaya sentiasa peka keadaan semasa.

"Air naik sekelip mata, almari pakaian dan beberapa perkakas tidak sempat diselamatkan ke tempat tinggi.

Punca banjir di kampung ini kerana sungai cetek dan parit kecil tidak dapat menampung kapasiti air," katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tiram, Azizul Bachok, berkata sudah merujuk permasalahan dilanda mangsa banjir kepada pihak berkuasa tempatan (PBT).

Berita Harian X