Jumaat, 1 Disember 2023 | 3:10pm

Prasarana catat peningkatan konsisten pengguna 1.1 juta sehari

KUALA LUMPUR: Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana), pemilik serta pengendali perkhidmatan rel dan bas terbesar negara, mencatatkan peningkatan penggunaan pengangkutan awam yang konsisten iaitu hampir 1.1 juta sehari setakat 30 November ini.

Prasarana dalam satu kenyataan berkata, daripada jumlah itu, perkhidmatan Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid Rail) mencatatkan purata penggunaan harian sebanyak 835,119 merangkumi perkhidmatan transit aliran ringan (LRT), Laluan Transit Aliran Massa (MRT) dan Monorel.

Manakala purata penggunaan perkhidmatan Rapid Bus Sdn Bhd (Rapid Bus) adalah sebanyak 258,710 di mana angka penggunaan harian tertinggi adalah 1,200,433 yang dicatatkan pada 22 November lalu.

"Angka-angka itu adalah tertinggi penggunaan harian perkhidmatan kendalian Prasarana yang dicatatkan sejak negara dilanda pandemik COVID-19 di mana pada awal tahun 2020, purata penumpang yang menggunakan perkhidmatan Prasarana adalah kira-kira 1.2 juta orang sehari.

"Pelbagai inisiatif berterusan diambil oleh Prasarana bagi mempertingkatkan pengalaman pengguna termasuk dari segi ketersediaan perkhidmatan dan keadaan fasiliti serta kemudahan awam, yang turut menyumbang kepada peningkatan pengguna harian yang konsisten," menurut Prasarana dalam satu kenyataan media, hari ini.

Sementara itu, bagi perkhidmatan rel, pihak Rapid Rail berterusan akan menambah baik perkhidmatan dalam memastikan perjalanan yang lancar tanpa gangguan bagi penumpang di semua laluan kendaliannya.

Prasarana berkata, sejak September lalu, Rapid Rail sudah memulakan pengoperasian empat buah tren baharu bagi LRT Laluan Kelana Jaya di bawah projek KLAV27 (Kuala Lumpur Additional Vehicle).

"Baki 15 buah tren akan diterima secara berperingkat sehingga Disember 2024 dan ketika ini, LRT Laluan Kelana Jaya secara purata beroperasi dengan 48 buah tren dengan kekerapan purata tiga minit.

"Penggunaan MRT Laluan Putrajaya dan Laluan Kajang juga menunjukkan angka yang memberangsangkan sejak dilancarkan sepenuhnya pada Mac lalu iaitu sebanyak 127,872 penumpang dicatatkan pada November berbanding 122,720 pada Oktober lalu.

"MRT Laluan Kajang pula mencatatkan purata penggunaan harian seramai 225,705 pada November, satu peningkatan daripada purata penggunaan harian sebanyak 219,576 pada Oktober lalu dan dijangka akan bertambah menjelang Januari 2024 apabila bilangan tren ditambah kepada 36 buah dengan kekerapan empat minit," menurut kenyataan itu.

Bagi perkhidmatan Rapid Bus pula, dijangka sebanyak 1,000 buah bas akan beroperasi setiap hari menjelang hujung tahun ini di sekitar Lembah Klang, peningkatan daripada 762 buah pada awal tahun ini bagi memenuhi permintaan yang meningkat dan menyelaraskan pengoperasian bas agar lebih efisyen.

"Projek percubaan lorong bas di Jalan Ampang (Jalan Rhu ke persimpangan Jalan Tun Razak) yang bermula pada 3 Julai lalu juga membuahkan hasil yang memberangsangkan, di mana Rapid Bus mencatat peningkatan jumlah pengguna sebanyak 15 peratus dan dua projek percubaan lorong bas baharu iaitu Jalan Genting Klang dan Jalan Ampang (persimpangan Jalan Tun Razak ke Jalan Rhu) sudah mula dilaksanakan pada 15 November lalu.

"Dari segi fasiliti serta kemudahan awam di stesen-stesen termasuk lif dan eskalator, 99 peratus kemudahan beroperasi secara normal, namun pembaikan fasiliti dan kemudahan akan berterusan di bawah program penyelenggaraan berasaskan keadaan.

"Pihak Prasarana komited dalam menambah baik semua perkhidmatannya serta menggalak penggunaan pengangkutan awam, selari dengan sasaran agenda penggunaan pengangkutan awam sebanyak 40 peratus menjelang tahun 2030," menurut kenyataan itu.

Berita Harian X