Jumaat, 1 Disember 2023 | 2:05pm
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, sebaik selesai menyampaikan pembentangan Belanjawan 2024 Perak pada Mesyuarat Kelima, Tahun Pertama Dewan Negeri Ke-15 Perak Darul Ridzuan di Bangunan Perak Darul Ridzuan hari ini. - FOTO BERNAMA
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, sebaik selesai menyampaikan pembentangan Belanjawan 2024 Perak pada Mesyuarat Kelima, Tahun Pertama Dewan Negeri Ke-15 Perak Darul Ridzuan di Bangunan Perak Darul Ridzuan hari ini. - FOTO BERNAMA

Belanjawan Perak RM1.35b, terbesar dalam sejarah negeri

IPOH: Bertemakan 'Perak Makmur, Rakyat Sejahtera', kerajaan Perak hari ini membentangkan Belanjawan 2024 dengan peruntukan RM1.35 bilion membabitkan anggaran perbelanjaan mengurus RM856 juta dan pembangunan RM491 juta.

Belanjawan tertinggi dalam sejarah negeri itu dibentang Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad, pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, dengan lima fokus sebagai paksi utama.

Lima fokus terbabit ialah kesejahteraan rakyat, tadbir urus projek berkepentingan, kelestarian alam sekitar, keterjaminan bekalan makanan serta pembangunan modal insan dan belia.

Beliau berkata, kerajaan negeri menambah peruntukan bagi pembangunan yang meningkat RM96 juta berbanding 2023, dengan kebanyakannya disalurkan bagi pembangunan infrastruktur dan inisiatif kesejahteraan rakyat.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, membentangkan Belanjawan Negeri Perak 2024 pada Mesyuarat Kelima Tahun Pertama Persidangan DUN ke-15 Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan. - NSTP/L MANIMARAN
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, membentangkan Belanjawan Negeri Perak 2024 pada Mesyuarat Kelima Tahun Pertama Persidangan DUN ke-15 Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan. - NSTP/L MANIMARAN

"Disokong kedudukan kewangan negeri yang semakin mengukuh dan stabil, beberapa inisiatif bantuan terus kepada rakyat dinaikkan termasuk melalui penyediaan peruntukan RM384.1 juta bagi melaksanakan program kesejahteraan rakyat dengan menjurus matlamat mengupayakan sara diri rakyat.

"Mengambil kira iklim ekonomi yang tidak menentu dan menekan kehidupan rakyat, kadar semasa bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bernilai RM300 akan dinaikkan kepada RM400 mulai Januari 2024," katanya.

Bermula tahun depan, katanya, syarat kelayakan bantuan kewangan JKM akan mengguna pakai garis panduan Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) Makanan Isi Rumah RM1,198 berbanding RM1,169 pada masa ini.

Saarani berkata, program Kad Perak Sejahtera bagi membantu golongan sasar B40 diteruskan dengan peruntukan RM24 juta, dengan kadar tunai kad yang dinaikkan daripada RM80 kepada RM90 tahun ini, ditingkatkan menjadi RM100 bermula tahun depan.

Katanya, aspek Kelestarian Alam Sekitar dan Keterjaminan Bekalan Makanan masing-masing mendapat peruntukan RM66.3 juta dan RM63.3 juta.

Untuk fokus Keterjaminan Bekalan Makanan, jelasnya, sejumlah RM18.3 juta adalah peruntukan di bawah belanja pembangunan.

Bagi fokus Tadbir Urus Projek Berkepentingan Negeri, Saarani berkata, RM393.4 juta diperuntukkan bagi pelaksanaan projek berimpak tinggi yang perlu dilipatgandakan sebagai pelantar menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat, selain mendukung inisiatif memakmurkan ekonomi domestik.

Saarani turut mengumumkan bantuan khas kewangan (BKK) dua bulan gaji kepada penjawat awam di bawah pentadbiran kerajaan negeri yang akan dibayar penuh pada 20 Disember ini.

Saarani berkata, pembayaran termasuk Ex-Officio, guru lantikan negeri, Orang Besar Jajahan serta pekerja sambilan harian (PSH).

Katanya, BKK turut diberikan kepada Ketua Kampung bagi lantikan sebelum 15 Disember 2023 pada kadar RM400 seorang.

Berita Harian X