Jumaat, 1 Disember 2023 | 12:21pm
Petugas SPR membuat persiapan di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi PRK Kemaman di Dewan Berlian, Majlis Perbandaran Kemaman di Chukai, hari ini. - NSTP/ROHANIS SHUKRI
Petugas SPR membuat persiapan di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi PRK Kemaman di Dewan Berlian, Majlis Perbandaran Kemaman di Chukai, hari ini. - NSTP/ROHANIS SHUKRI

PRK Kemaman: SPR jangka 70 peratus keluar mengundi

CHUKAI: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjangkakan peratusan keluar mengundi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman esok mencecah 70 peratus.

Pengerusinya, Tan Sri Abdul Ghani Salleh, berkata jumlah itu berdasarkan trend keluar mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN), Ogos lalu.

Katanya, peratusan itu juga mengambil kira ramalan cuaca oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) bahawa Kemaman akan hujan berterusan pada hari pengundian.

"Harap pengundi di Kemaman dapat keluar mengundi dan berharap peratus keluar mengundi dapat ditingkatkan kepada 70 peratus.

"Jangkaan ini berdasarkan trend pilihan raya yang terdahulu," katanya kepada pemberita selepas meninjau Pusat Penjumlahan Rasmi Undi bagi PRK Kemaman di Majlis Perbandaran Kemaman di sini, hari ini.

Pengundian PRK Kemaman esok menyaksikan pertembungan antara calon Barisan Nasional (BN), Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor dan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang mewakili PAS.

Pilihan raya itu diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 September lalu yang membatalkan kemenangan calon PAS, Che Alias Hamid pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Pada PRU15, Che Alias Hamid memenangi kerusi Parlimen Kemaman selepas memperoleh 65,714 undi menewaskan Pengerusi UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said yang mendapat undi sebanyak 38,535 dengan majoriti 27,179 undi.

Dalam pada itu, Abdul Ghani berkata, 49 pusat mengundi dengan 244 saluran disediakan di empat DUN bagi PRK Kemaman.

Mengenai keputusan PRK berkenaan, Abdul Ghani berkata, ia dijangka diperoleh selewat-lewatnya jam 9 malam.

"Jangkaan keputusan adalah awal kerana kita menggunakan sistem baharu, namun seperti kebiasaan kita perlu menunggu peti undi dari seluruh pusat mengundi dan jangka selesai pada jam 9 malam," katanya.

Abdul Ghani turut berpesan kepada pengundi untuk membawa kad pengenalan bagi memudahkan proses pengundian.

Berita Harian X