Jumaat, 1 Disember 2023 | 7:23am

Pastikan 'taring' hak asasi tak gigit diri

Tidak ada pihak boleh mempertikaikan kepentingan hak asasi khususnya dalam dunia moden kini, sekali gus menjadikan Rang Undang-Undang (RUU) Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Pindaan) 2023 wajar dianggap permulaan kepada usaha mengembalikan 'taring' Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM), terutama memantau isu berkaitan kanak-kanak. Justeru, pembentangan dibuat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said di Dewan Rakyat kelmarin itu, antara komitmen kerajaan memartabatkan hak dan kebebasan rakyat negara ini perlu dialu-alukan.

Foto Hiasan
Foto Hiasan

Bagaimanapun, tidak kurang penting dengan keperluan 'menumbuhkan gigi atau mengasah taring', adalah keutamaan memastikan bagaimana konsep hak asasi ditafsir dan dengan menggunakan pandangan alam, kaca mata, ideologi atau pertimbangan politik apa. Contoh mudahnya, Deklarasi Hak Asasi Manusia Antarabangsa (UDHR) menjamin 30 perkara penting diterima pada peringkat antarabangsa, tetapi realitinya berapa banyakkah pencabulan dilakukan regim Zionis terutama dalam serangan ganas dan bersifat genosid di Gaza berlarutan lebih sebulan? Di Amerika Syarikat (AS) dan Eropah, isu identiti jantina bukan lagi sekitar sebahagian subbudaya menuntut kebebasan dan hak bagi LGBT, bahkan jumlah jantina mencecah lebih 100 termasuk genderfluid boleh berubah-ubah mencetuskan polemik dan wacana keras terutama dalam kalangan pendesaknya.

Justeru, adalah penting meletakkan hak asasi pada kerangka benar ditetapkan Perlembagaan Persekutuan dan kedudukan Islam sebagai agama rasmi, manakala agama lain bebas diamalkan dan budaya Timur menjadi sebahagian unsur penting dalam Dasar Kebudayaan Kebangsaan (DKK). Malah, Malaysia sebagai negara Islam juga tertakluk kepada Deklarasi Kaherah tentang Hak Asasi Manusia dalam Islam (CDHRI) lebih bertepatan kedudukan agama, adat dan budaya ketimuran. Pada masa sama, Artikel 11 International Covenant on Civil and Political Rights (ICCPR) menyatakan hak asasi manusia tidak boleh dihadkan kecuali melalui peruntukan undang-undang perlu bagi memelihara keselamatan negara, ketenteraman awam, kesihatan awam dan moral seperti dihujahkan pengasas Pusat Polisi dan Hal Ehwal Ekonomi Malaysia (PEACE), Mohd Jamizal Zainol dalam artikel Muka Sepuluh pernah disiarkan akhbar ini.

Kita meminta kerajaan dalam usaha menumbuhkan atau menajamkan 'taring' perjuangan hak asasi manusia termasuk memperkasa SUHAKAM dengan kuasa lebih efektif dalam jangka panjang ini, konsep hak asasi perlu diberikan tumpuan dengan mengambil kira Perlembagaan, kedudukan Islam dan kebebasan agama serta adat dan budaya setempat. Kita percaya konsep hak asasi sebeginilah yang bertepatan dengan takrif ehsan dalam kerangka Malaysia MADANI, sekali gus bukan 'taring' yang tumbuh dan tajam akhirnya akan menggigit perundangan dan keharmonian di negara ini serta membuka ruang kepada kesendengan atau kekeliruan dalam konteks hak asasi seperti berlaku di Barat.

Berita Harian X