Khamis, 30 November 2023 | 10:15pm
Peniaga kedai makan mengalihkan barang ke tempat yang lebih selamat berikutan banjir kilat di Kampung Sri Sentosa, Bachok, hari ini. - Foto BH/NIK ABDULLAH NIK OMAR
Peniaga kedai makan mengalihkan barang ke tempat yang lebih selamat berikutan banjir kilat di Kampung Sri Sentosa, Bachok, hari ini. - Foto BH/NIK ABDULLAH NIK OMAR

Mangsa banjir di Kelantan kembali meningkat, Terengganu menurun

KUALA LUMPUR: Jumlah mangsa banjir di Kelantan kembali meningkat, manakala di Terengganu menurun malam ini.

Di Kelantan, berikutan hujan lebat sejak semalam, beberapa kawasan dinaiki air menyebabkan jumlah mangsa banjir bertambah kepada 795 orang daripada 235 keluarga setakat 8 malam ini, berbanding 317 orang daripada 101 keluarga pagi tadi.

Menurut portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) semua mangsa berlindung di empat pusat pemindahan sementara (PPS) di jajahan Pasir Mas, Bachok dan Kota Bharu.

Kota Bharu menjadi jajahan terbaharu terkesan banjir apabila PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Sering dibuka tengah hari tadi menempatkan 177 mangsa daripada 52 keluarga, manakala di Pasir Mas sebanyak 227 mangsa daripada 78 keluarga sedang berlindung di PPS SK Gual To'Deh.

Di Bachok, PPS SK Jelawat menempatkan 109 orang daripada 31 keluarga, manakala 282 orang daripada 74 keluarga lagi berada di PPS Sekolah Menengah Kebangsaan Beris Panchor.

Di Terengganu, hanya tiga mangsa daripada satu keluarga masih berada di PPS daerah Kuala Terengganu setakat 8 malam ini.

Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu (JPBNT) seramai 17 mangsa yang berlindung di PPS sama iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Atas Tol pulang ke rumah masing-masing pada 6 petang tadi. – BERNAMA

Pemandu kenderaan mengharungi air dekat Kampung Sri Sentosa, Bachok, hari ini. - Foto BERNAMA
Pemandu kenderaan mengharungi air dekat Kampung Sri Sentosa, Bachok, hari ini. - Foto BERNAMA

Berita Harian X