Khamis, 30 November 2023 | 3:17pm
Abdul Wahab Abdul Kadir Jilani hadir ke IPD Kajang hari ini. - Foto NSTP/Aizuddin Saad
Abdul Wahab Abdul Kadir Jilani hadir ke IPD Kajang hari ini. - Foto NSTP/Aizuddin Saad

Selepas 3 jam, Wahab masih beri keterangan di IPD Kajang

KUALA LUMPUR: Selepas hadir ke Bukit Aman bagi membantu siasatan kes fitnah terhadap bekas Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), pembantu pegawai jabatan berkenaan, Abdul Wahab Abdul Kadir Jilani hari ini tampil di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang.

Abdul Wahab, 33, hadir bersama peguamnya Faizal Abd Rahman, sekitar jam 11 pagi tadi.

Wahab dilaporkan membuat laporan polis di Balai Polis Kajang, sebelum dilihat keluar pada jam 12.57 tengah hari menuju ke bilik Pegawai Penyiasat IPD Kajang.

Pada masa ini proses siasatan masih dijalankan di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah, IPD Kajang, namun butiran berhubung laporan polis yang dibuat Wahab masih belum dapat dipastikan.

Faizal juga memaklumkan beliau akan memberikan butiran berhubung kehadiran mereka ke IPD Kajang kepada pihak media sebaik proses siasatan selesai dijalankan.

Semalam, peguamnya mengesahkan bahawa anak guamnya itu hadir ke Bukit Aman, bagi proses rakaman percakapan berhubung kes fitnah membabitkan Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff.

Minggu lalu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zaid berkata, pihaknya sudah merakam percakapan tiga individu dalam kes berkenaan iaitu Mohammad Agus, Mr H dan pekerja sebuah hotel tempat sidang media antara Agus dan Wahab diadakan.

Katanya siasatan dijalankan mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan atas kesalahan fitnah dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian dan perkhidmatan rangkaian.

Berita Harian X