Khamis, 30 November 2023 | 2:56pm
Foto hiasan - FAIL NSTP
Foto hiasan - FAIL NSTP

KPM saring lebih 300,000 guru ikut tahap kecekapan digital

KUALA LUMPUR: Lebih 300,000 guru disaring dan dikategorikan mengikut tahap kecekapan digital sehingga Oktober lalu.

Langkah itu selaras usaha Kementerian Pendidikan (KPM) memastikan pengajaran dan pembelajaran (PdP) yang dilaksanakan membudayakan teknologi pendidikan secara menyeronokkan.

Timbalan Menteri Pendidikan, Lim Hui Ling, berkata pengesanan saringan tahap kecekapan digital guru itu masih berjalan dan dijangka selesai akhir bulan ini.

Sehingga 15 November lalu, katanya, lebih 25,000 aktiviti Pembangunan Profesionalisme Berterusan (PPB) berkaitan digital atau teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dilaksanakan berdasarkan statistik dalam Sistem Pengurusan Latihan Kementerian Pendidikan Malaysia (SPLKPM).

"Kementerian turut menyediakan pelantar Digital Educational Learning Initiative Malaysia (DELIMa) yang mengandungi perkhidmatan, aplikasi dan kandungan ditambah baik secara berterusan, seiring perkembangan teknologi terkini.

"Sehingga kini, 5.3 juta pengguna pelbagai peringkat merangkumi murid sekolah rendah dan menengah, pelajar lepasan menengah iaitu Tingkatan Enam, Kolej Matrikulasi dan pelatih IPG, pelajar Kolej Vokasional, guru, pensyarah dan pemimpin pendidikan dapat mengakses DELIMa pada bila-bila masa di mana sahaja," katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Abdul Khalib Abdullah (BN- Rompin) yang ingin mengetahui perancangan kementerian ke arah pembentukan Dasar Pendidikan Digital bagi mempercepatkan adaptasi pendigitalan dalam ekosistem Pendidikan negara.

Hui Ling berkata, KPM sentiasa berusaha meningkatkan motivasi dan inovasi digital murid melalui pameran dan penganugerahan digital kepada murid dan sekolah.

Katanya, Majlis Anugerah Digital Utilisation and Technology Awards (DUTA) misalnya, dianjur dengan matlamat mengiktiraf murid, guru, sekolah, pejabat pendidikan daerah dan jabatan pendidikan negeri atas usaha memperkasakan penggunaan teknologi secara inovatif, kreatif dan beretika dalam pengajaran dan pembelajaran.

"Pembabitan aktif sekolah dalam program DUTA memperkukuhkan keupayaan dan kesediaan murid untuk mengguna pakai teknologi digital dalam pembelajaran serta memanfaatkan inovasi dan transformasi digital di sekolah, rumah atau di mana sahaja," katanya.

Berita Harian X