Khamis, 30 November 2023 | 2:07pm
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh menjawab soalan pada Persidangan Ketiga (Bajet), Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Melaka Yang Ke-15 di Kompleks Seri Negeri dekat Ayer Keroh Isnin lalu. - Foto fail BERNAMA
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh menjawab soalan pada Persidangan Ketiga (Bajet), Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Melaka Yang Ke-15 di Kompleks Seri Negeri dekat Ayer Keroh Isnin lalu. - Foto fail BERNAMA

Gaji ADUN Melaka naik bermula Januari 2024

AYER KEROH: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melaka akan menikmati kadar saraan baharu bermula Januari depan selepas Rang Undang-Undang Enakmen Ahli Pentadbiran dan Dewan Negeri (Saraan) Pindaan 2023 diluluskan, semalam.

Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, berkata RUU diluluskan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) itu dikemukakan selepas semakan saraan terakhir bagi Ahli Pentadbiran dan Dewan Negeri dibuat pada 2015.

Katanya, menerusi kenaikan kadar itu menjadikan Melaka berada pada kedudukan ke-11 daripada 13 negeri yang menerima bayaran saraan terendah menerusi Bayaran Gaji dan Elaun Tetap Bulanan Ahli Dewan.

"Menerusi kelulusan Seksyen 3 itu, kadar kenaikan Elaun Tetap Ahli Dewan daripada RM9,000 kepada RM12,000, Seksyen 4 untuk menaikkan saraan Speaker Lantikan Dari Kalangan Ahli Dewan daripada RM7,000 kepada RM11,000 dan Speaker Bukan Lantikan Ahli Dewan daripada RM8,000 kepada RM11,000.

"Kedua-dua jawatan Speaker itu juga diberikan Elaun Ahli Dewan sebanyak RM12,000 berbanding RM9,000 ketika ini," katanya.

Dalam usul yang diluluskan itu, turut dikemukakan ialah pindaan terhadap Seksyen 4A untuk menaikkan saraan bagi Timbalan Speaker daripada RM3,000 kepada RM4,000 selain Seksyen 6(1)(a) bagi menaikkan saraan Anggota Pentadbiran bagi Ketua Menteri kepada RM18,000 berbanding RM15,000 ketika ini.

Turut dipinda adalah Seksyen 6(1)(b) untuk menaikkan saraan ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) daripada RM7,000 kepada RM8,000 dan Seksyen 11A yang menyatakan mengenai Elaun dan Keistimewaan Bagi Setiausaha Kerajaan Negeri, Penasihat Undang-undang Negeri dan Pegawai Kewangan Negeri sebagai ahli rasmi MMKN dinaikkan daripada RM8,250 kepada RM9,250.

Ketua Menteri turut mengumumkan kenaikan saraan kepada 123 pesara ADUN yang berpencen sama ada mereka yang menerima pencen atau pencen terbitan.

"Semua pesara ini akan menerima kenaikan pencen mengikut perkiraan tahun perkhidmatan yang boleh dimasuk kira bagi penyelarasan bayaran pencen masing-masing," katanya.

Ab Rauf berkata, kenaikan saraan berpencen ini membabitkan tambahan peruntukan berjumlah RM3,470,333.28 setahun dengan menggunakan peruntukan di bawah B02 Dewan Undangan Negeri, T02 Peruntukan Speaker Dewan Undangan Negeri dan T04 Pampasan dan Ganjaran, DUN Melaka dan B03 Jabatan Ketua Menteri.

"Pecahan tambahan peruntukan yang diperlukan membabitkan jumlah RM1.284 juta bagi 32 Ahli Pentadbiran dan Dewan Negeri yang masih dalam perkhidmatan dan RM2,186,333.28 bagi Ahli Dewan yang sudah berpencen," katanya.

Berita Harian X