Khamis, 30 November 2023 | 1:18pm
Masjidil Haram di Makkah. - Foto fail AFP
Masjidil Haram di Makkah. - Foto fail AFP

Lambakan iklan pakej umrah, haji di media sosial buka peluang penipuan

KUALA LUMPUR: Kemunculan banyak iklan menawarkan pakej umrah dan haji yang berleluasa di media sosial cenderung membuka peluang kepada kegiatan penipuan.

Timbalan Setiausaha Agung Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Nur Asyikin Aminuddin, berkata situasi itu memperlihat seolah-olah tiada kawalan, pemantauan dan penguatkuasaan daripada pihak berkaitan.

Justeru, beliau mencadangkan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bekerjasama rapat untuk mengekang isu membabitkan iklan pakej umrah dan haji yang berleluasa di media sosial.

"Ya betul iklan yang menawarkan pakej umrah dan haji sangat banyak di media sosial bagai cendawan tumbuh selepas hujan. Banyak scammer (penipu) yang ambil peluang dari platform ini.

"Perlu ada kerjasama antara MOTAC dan pihak MCMC untuk banteras isu ini. Dalam keadaan sekarang sememangnya mengkehendaki kerjasama antara kementerian dan agensi, kerana rata-rata mereka bekerja secara silo.

"Cara bekerja juga perlu berubah. Kena ada pemantauan berterusan dan tidak boleh bergantung pada aduan baru nak bertindak," katanya kepada BH hari ini.

Beliau mengulas laporan muka depan BH hari ini yang mendedahkan isu berkaitan pakej pelancongan, termasuk penipuan membabitkan haji dan umrah antara aduan paling tinggi diterima Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC) sejak empat tahun lalu.

Bagi tempoh antara 2019 hingga 2022, NCCC menerima 5,518 aduan membabitkan pakej pelancong daripada pengguna dengan 2,028 daripadanya membabitkan unsur penipuan.

Mendedahkan demikian, Pengurus NCCC, Saral James Maniam, berkata secara keseluruhan lima isu berkaitan pakej pelancongan diterima pihaknya dengan empat lagi membabitkan isu pembayaran balik iaitu 1,829 aduan, tempahan hotel (537), aduan berkaitan harga (527) dan tempahan hotel dalam talian yang dibatalkan (597).

Bagi mengelak ditipu, Nur Asyikin menasihati pengguna supaya membuat semakan terlebih dahulu antaranya memastikan agensi umrah terlibat berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) atau sebaliknya.

Beliau berkata pengguna juga perlu tahu alamat dan nombor telefon agensi yang mereka berurusan supaya dapat berhubung dan mengambil tindakan susulan.

"Pihak MOTAC pun perlu ambil tindakan juga ke atas agensi umrah yang tidak berdaftar dengan SSM supaya mereka tidak sewenang-wenangnya buat perniagaan yang seakan-akan menunggang agama," katanya.

Berita Harian X