Khamis, 30 November 2023 | 12:43pm
Pemandangan dari udara sekitar Tanah Suci Makkah. - Foto fail BERNAMA
Pemandangan dari udara sekitar Tanah Suci Makkah. - Foto fail BERNAMA

Perincikan agensi berlesen atau tidak, elak situasi 'pukul rata' - PAPUH

KUALA LUMPUR: Mangsa penipuan pakej umrah dan haji diminta memperincikan aduan sama ada agensi berkenaan berlesen atau sebaliknya bagi mengelak memberi tanggapan buruk kepada lebih 900 agensi berlesen.

Setiausaha Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji Malaysia (PAPUH), Faridah Hamid, berkata tindakan sedemikian perlu bagi mengelak kekeliruan atau situasi 'pukul rata'.

Beliau turut menyuarakan ketidakpuasan hati terhadap pihak berkuasa termasuk Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) yang didakwa tidak mengambil tindakan sewajarnya walhal mereka lebih tahu syarikat mana terbabit dengan kegiatan itu.

"PAPUH berpandangan pihak yang menerima aduan perlu memastikan sama ada syarikat agensi pelancongan yang diadukan itu mempunyai lesen atau pun tidak.

"Jika mereka tidak mempunyai lesen, perlulah menyatakan syarikat tersebut tidak berlesen ketika membuat kenyataan. Ini untuk memberi keadilan kepada lebih 900 syarikat berlesen agar tidak terpalit dengan sangkaan buruk oleh bakal jemaah.

"Tidak dinafikan juga ada syarikat agensi pelancongan berlesen yang mempunyai masalah tetapi mungkin hanya dua atau tiga (syarikat). Isu itu sebenarnya diambil tindakan cuma ia menjadi bahan berita sekali lagi disebabkan syarikat terus memberi janji palsu kepada bakal jemaah.

"Hal ini sepatutnya diambil tindakan pantas oleh MOTAC atau Polis Diraja Malaysia (PDRM) kerana syarikat berkenaan telah mereka ketahui. Yang menjadi masalah bila MOTAC pun mengeluarkan kenyataan seolah-olah ia adalah kes penipuan baharu," katanya kepada BH.

Faridah turut menegur MOTAC supaya memanfaatkan hasil perbincangan dalam mesyuarat yang berlangsung bersama penggiat industri bagi membuahkan tindakan lanjut yang lebih berkesan.

Beliau mendakwa kementerian itu gemar bekerja bersendirian sehingga membuang masa persatuan umrah dan haji menghadiri mesyuarat.

"Jika ini berlaku, jangan buang masa kami untuk dipanggil mesyuarat jika sekadar untuk memenuhkan petunjuk prestasi utama (KPI) kementerian sahaja," katanya.

Sementara itu Presiden Persatuan Solidariti Pengembaraan dan Agensi Pelancongan Malaysia (SAFTTA), Dr Fathir Badri, berharap Majlis Kawalselia Umrah (MKSU) yang anggotanya MOTAC, PDRM dan Jabatan Imigresen (Imigresen) perlu mengadakan perjumpaan segera bagi mengatasi kelembapan industri umrah ketika ini.

Beliau berkata langkah itu wajar bagi mempertingkat segera kepercayaan bakal jemaah kerana tidak mahu kelesuan industri ini menjadi semakin parah.

"SAFTTA agak hairan kenapa aduan penipuan pakej haji tinggi sedangkan Tabung Haji (TH) hanya mengawal 23 syarikat dengan begitu ketat dan TH juga setiap tahun mengumumkan mereka menerima anugerah terbaik menguruskan haji dari Arab Saudi.

"Mungkin ada sesuatu yang tidak kena sebab syarikat yang sama tiap tahun dilantik oleh TH sebagai pengendali haji," katanya.

Laporan muka depan BH hari ini mendedahkan isu berkaitan pakej pelancongan, termasuk penipuan membabitkan haji dan umrah antara aduan paling tinggi diterima Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC) sejak empat tahun lalu.

Bagi tempoh antara 2019 hingga 2022, NCCC menerima 5,518 aduan membabitkan pakej pelancong daripada pengguna dengan 2,028 daripadanya membabitkan unsur penipuan.

Mendedahkan demikian, Pengurus NCCC, Saral James Maniam, berkata secara keseluruhan lima isu berkaitan pakej pelancongan diterima pihaknya dengan empat lagi membabitkan isu pembayaran balik iaitu 1,829 aduan, tempahan hotel (537), aduan berkaitan harga (527) dan tempahan hotel dalam talian yang dibatalkan (597).

Berita Harian X