Khamis, 30 November 2023 | 12:18pm
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof

Jauhi transaksi tidak beretika, pastikan sektor halal Malaysia berkembang baik

PUTRAJAYA: Datuk Seri Fadillah Yusof mengingatkan semua pemegang taruh dalam industri halal supaya menjauhi transaksi tidak beretika dan menyalahi undang-undang bagi memastikan ekosistem sektor terbabit berkembang secara komprehensif.

Timbalan Perdana Menteri berkata ini kerana halal menetapkan tindakan yang dilaksanakan adalah mengikut undang-undang Islam dengan skop lebih luas dan mempengaruhi kehidupan manusia.

"Bagi memupuk ekonomi halal yang menyeluruh, pemegang taruh perlu menjauhi transaksi yang tidak beretika dan menyalahi undang-undang seperti tidak jujur, memanipulasi harga dan menyorok bekalan.

"Sebaliknya pemegang taruh perlu mematuhi prinsip serta etika yang baik bagi mewujudkan ekosistem industri halal yang lebih kondusif," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Persidangan Islam dan Ekonomi Halal Antarabangsa (ICIHES) 2023 serta Persidangan Undang-Undang Islam, Ekonomi dan Kewangan Antarabangsa (SPEKI) 2023 di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Pertubuhan Legasi Tun Abdullah Ahmad Badawi, Datuk Jefridin Atan.

Dalam pada itu, Fadillah berkata, Malaysia perlu memperkasakan lagi aspek utama dalam pembangunan infrastruktur, penyelidikan dan pembangunan (R&D), pendidikan, latihan, integrasi teknologi serta kerjasama global bagi menjadikan negara ini sebagai hab ekonomi halal berdaya maju.

Jelasnya, industri halal menjadi sektor berpotensi tinggi dengan nilai ekonomi global mencecah AS$5 trilion (RM23.26 trilion) menjelang 2030.

"Permintaan yang meningkat untuk barangan dan perkhidmatan halal menyebabkan negara bukan Islam seperti Thailand, Australia, dan Brazil menjadi pengeksport produk halal terkemuka, daripada makanan diproses kepada bekalan daging dan ayam.

"Kita tidak boleh lupa bahawa halal bukan sekadar pensijilan semata-mata, tetapi mewakili peluang perniagaan yang besar.

"Walaupun proses pensijilan mungkin tidak menyumbang secara langsung kepada ekonomi negara, aspek perniagaan halal yang lebih luas menjana kekayaan, memupuk kesejahteraan masyarakat dan meningkatkan pulangan ekonomi dalam perspektif yang luas," katanya.

Berita Harian X