Rabu, 29 November 2023 | 7:59pm

Sanusi dakwa ada 'Little Napoleon' keruhkan hubungan dengan PM

ALOR SETAR: Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mendakwa wujud permainan 'Little Napoleon' yang cuba mengeruhkan hubungannya bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Katanya, kejadian terbaharu berlaku kelmarin, ketika beliau mengiringi Perdana Menteri yang dalam lawatan kerja ke Sadao, Thailand, namun beliau tidak menyalahkan Anwar dengan apa yang terjadi.

Katanya, ini kerana kejadian itu berlaku disebabkan permainan 'Little Napoleon' atau pegawai lantikan politik di Pejabat Perdana Menteri (PMO) dan Kementerian Luar Negara.

"Saya hadir lawatan atas kapasiti Menteri Besar yang dijemput untuk mengikuti delegasi itu bermula jam 10 pagi hingga 3.40 petang.

"Jemputan diuruskan Pegawai Tadbir Diplomatik (PTD) di PMO dan Pejabat Menteri Besar Kedah berdasarkan prosedur biasa dalam hubungan diplomatik antara Malaysia dan negara luar serta Kerajaan Persekutuan dan negeri.

"Saya dapati semua urusan disusun cantik, saya dijadual ikut rombongan Perdana Menteri dari lapangan terbang sehingga ke lapangan terbang semula. Tapi bila sampai pagi itu, ada perubahan oleh pegawai kementerian, ada permainan bila mereka masuk campur sehingga jadi celaru," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada sesi penggulungan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah di sini, hari ini.

Semalam, Anwar pada Sidang Dewan Rakyat memaklumkan, beliau memutuskan membawa Muhammad Sanusi ke Thailand untuk berunding berkaitan hal sempadan serta memberi nota kepada Perdana Menteri Thailand, Srettha Thavisin untuk menjemput Muhammad Sanusi ke jamuan tengah hari kerana beliau mengikuti rombongan itu.

Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi berkata, ketika mesyuarat praprogram di Alor Setar, beliau tidak diberikan tempat untuk bersama dalam perbincangan, walaupun mendapati topik utama yang dibangkitkan adalah berkaitan isu tanah yang terletak di bawah bidang kuasa negeri.

"Saya berdiri sebab tak ada kerusi, tapi saya ucap terima kasih kepada Perdana Menteri yang nampak saya berdiri dan beliau minta saya diberikan kerusi.

"Saya bukan rasa terhina, tapi nak maklumkan bahaya permainan 'Little Napoleon' yang mencatur hubungan pemimpin supaya berlaku pertembungan, pergaduhan dan tak puas hati.

"Saya tahu ini permainan pegawai terbabit supaya saya terus serang Perdana Menteri, tetapi saya tidak berbuat demikian kerana pandangan saya, beliau memainkan peranan sebagai Perdana Menteri, tapi pegawai yang susun rombongan cuba main politik, lebih sudu daripada kuah," katanya.

Muhammad Sanusi berkata, beliau sebenarnya tidak mahu menyuarakan perkara itu, tetapi perlu menyelesaikannya kerana digambarkan seolah-olah 'mereka' melakukan ihsan apabila membawanya ke Thailand.

"Jangan pentingkan dendam politik dalam urusan pentadbiran kerajaan kerana dalam lawatan itu saya bawa pegawai paling kanan di Kedah (Setiausaha Kerajaan Negeri), saya tak bawa pegawai lantikan politik kerana ini urusan kerajaan.

"Saya juga terus bagi peringatan kepada Setiausaha Politik Perdana Menteri pada hari sama dan beliau memaklumkan menerima mesej itu.

"Jadi, pegawai lantikan politik jangan atur bagi 'bos-bos' berkelahi, sebaliknya bagi 'bos-bos' ini berbaik baru hubungan kerajaan sejuk kerana kalau tidak sampai kiamat pun kita tak akan berbaik," katanya.

Berita Harian X