Rabu, 29 November 2023 | 6:44pm
 Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) yang juga Ahli Parlimen Pengerang Datuk Seri Azalina Othman Said menghadiri Sidang Dewan Rakyat di Parlimen hari ini. - Foto BERNAMA
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) yang juga Ahli Parlimen Pengerang Datuk Seri Azalina Othman Said menghadiri Sidang Dewan Rakyat di Parlimen hari ini. - Foto BERNAMA

SUHAKAM perlu tumbuh 'gigi', baru boleh ada 'taring'

KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang (RUU) Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Pindaan) 2023 adalah permulaan kepada usaha mengembalikan 'taring' Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM), terutama bagi memantau isu berkaitan kanak-kanak.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata RUU bagi meminda Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia 1999 membuktikan komitmen kerajaan untuk memartabatkan hak dan kebebasan rakyat negara ini.

"Saya setuju bahawa kita mahu SUHAKAM 'bertaring' tetapi sebelum itu, 'gigi' kena tumbuh dulu.

"Ini yang ingin kita lakukan, tumbuhkan 'gigi' SUHAKAM dan mungkin dalam tempoh 20 tahun, akan tumbuh panjang.

"Kerajaan buat pindaan ini selepas 2009, justeru kita berterima kasih kepada semua Ahli Parlimen yang sedar ini adalah isu yang tak boleh ditinggalkan.

"Ia dibaca kali kedua hari ini supaya menjadi kayu ukur sebenar keagungan negara yang memartabatkan hak dan kebebasan rakyatnya," katanya ketika menggulung perbahasan RUU SUHAKAM (Pindaan) 2023 di Dewan Rakyat, hari ini.

Seramai 19 ahli Parlimen mengambil bahagian dalam perbahasan RUU berkenaan.

Melalui pindaan itu, Azalina berkata, kerajaan yakin ekosistem hak asasi manusia akan bertambah baik dan Suruhanjaya Kanak-Kanak dapat menjalankan fungsi dan kuasanya dengan lebih efektif.

"Kelulusan pindaan ini akan memberikan mesej kepada dunia bahawa rakyat Malaysia dan ahli politik kita bersatu hati demi isu hak asasi manusia.

"RUU ini juga dapat membantu kerajaan mencapai perkataan ihsan dalam (kerangka) MADANI," katanya.

Terdahulu, Azalina menjelaskan, isu kanak-kanak bukan hanya ditangani oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), tetapi membabitkan pelbagai agensi, yayasan dan jabatan.

"Ada 21 pihak bertanggungjawab termasuk Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Jabatan Imigresen, Agensi Antidadah Kebangsaan, Jabatan Orang Asli dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)," katanya.

Berita Harian X