Rabu, 29 November 2023 | 6:28pm
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof (enam kanan) bersama penerima anugerah sempena Forum Perniagaan Muslim Global (GMBF) di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), hari ini. - Foto BERNAMA
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof (enam kanan) bersama penerima anugerah sempena Forum Perniagaan Muslim Global (GMBF) di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), hari ini. - Foto BERNAMA

Perbelanjaan pengambilan makanan muslim global cecah AS$1.38 trilion

KUCHING: Perbelanjaan bagi pengambilan makanan Muslim global diunjurkan mencecah AS$1.38 trilion pada 2024, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.

Katanya, golongan muda yang akan membentuk 60 peratus daripada dua bilion penduduk Islam dunia pada 2030 mempengaruhi lonjakan pengambilan itu.

"Mereka memacu revolusi dengan halal menjadi sinonim kepada kesihatan, kebersihan dan pengawasan beretika," katanya ketika berucap pada Forum Perniagaan Muslim Global 2023 di sini, hari ini.

Fadillah berkata kerajaan mengenal pasti nilai intrinsik pensijilan halal untuk memastikan barangan pengguna seperti farmaseutikal, nutraseutikal, kosmetik dan makanan memenuhi standard halal tertinggi.

Katanya, komitmen itu menggalakkan peserta utama dalam sektor barangan pengguna melabur untuk barisan pengeluaran halal, sekali gus memastikan produk Malaysia dipercayai di persada global.

"Memandangkan generasi muda semakin mementingkan alam sekitar, kita melihat peningkatan permintaan terhadap produk berasaskan tumbuhan dan makanan sihat serta tawaran yang diperakui halal sedang berkembang pesat," katanya.

- BERNAMA

Berita Harian X