Rabu, 29 November 2023 | 4:19pm
Ab Rauf (dua dari kanan) merasmikan manual pelaksanaan Melaka Industrial Booster MPHTJ baru-baru
Ab Rauf (dua dari kanan) merasmikan manual pelaksanaan Melaka Industrial Booster MPHTJ baru-baru

Pendekatan transformasi peraturan MIB pacu produktiviti

Melaka: Melaka Industrial Booster (MIB) menjadi inisiatif terbaru Kerajaan Melaka bagi melonjakkan pelaburan, perindustrian dan hasil pendapatan pada peringkat daerah dan negeri.

Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, berkata MIB bakal menjadi pemangkin bagi membantu meningkatkan pelaburan ke Melaka, sekali gus usaha itu dilihat dapat memastikan pertumbuhan produktiviti mampan dan pengembangan ekonomi kukuh di negeri ini.

Beliau berkata, MIB mengguna pakai pendekatan transformasi penyampaian peraturan bagi mempercepatkan kelulusan kebenaran merancang (KM), pelan kerja tanah, pelan jalan dan parit, pelan bangunan serta permit sementara.

Katanya, proses dilaksanakan secara serentak dan dapat diluluskan dalam tempoh 30 hari berbanding proses pemajuan berasingan yang mengambil masa sehingga 180 hari.

"Permohonan lesen operasi turut lebih cepat dan boleh dikeluarkan dalam tempoh 24 jam selepas mendapat Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC).

"Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) menjadi pihak berkuasa tempatan (PBT) pertama di Melaka memulakan projek rintis MIB.

"Bagi tujuan itu, MPHTJ mengenal pasti pembinaan syarikat Dominant Opto Technology dengan anggaran pelaburan RM200 juta dan ia membuka 2,000 peluang pekerjaan.

"Projek rintis MIB oleh MPHTJ kini dalam tempoh pelaksanaan dan dijangka selesai pada 2024. MPHTJ sudah membangunkan Manual Pelaksanaan MIB bagi projek rintis dan diedarkan kepada pemegang taruh utama," katanya selepas melancarkan MIB pada 24 November lalu.

Inisiatif MIB adalah usaha sama dengan Invest Melaka Berhad (IMB) yang dimudah cara oleh Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC).

Pelaksanaan MIB diadaptasi daripada model E10: Permit Pembinaan Ekspres oleh Majlis Perbandaran Kulim, Kedah (MPKK) dan Kulai Fast Lane (KFL) oleh Majlis Perbandaran Kulai (MPKu).

Sahut saranan kerajaan

Sementara itu, Yang Dipertua MPHTJ, Datin Sapiah Haron berkata, pihaknya menyahut saranan kerajaan negeri dan Persekutuan bagi meningkatkan kemudahan serta kelancaran menjalankan perniagaan pada peringkat daerah dan negeri.

"Kami sudah mengenal pasti dan mengadakan sesi libat urus dengan syarikat yang bersama melaksanakan projek rintis ini.

"Usaha ini selari dengan amanat Ab Rauf pada majlis bersama ketua jabatan agensi Kerajaan Persekutuan dan negeri pada 19 September lalu yang menggariskan tujuh fokus utama negeri termasuk berkaitan proses pelan pemajuan di pusat sehenti (OSC) PBT.

"Ab Rauf juga menekankan PBT perlu berperanan menambah baik dan mempercepatkan proses kelulusan permohonan pelan pemajuan termasuk KM, pelan bangunan, pelan kejuruteraan dan CCC supaya tiada kelewatan berlaku," katanya.

Sapiah berkata, pelaksanaan MIB dirintis MPTHJ ini bagi memastikan pemudahcaraan berkesan dalam proses kelulusan pembangunan sehingga industri beroperasi dan ia dapat dicapai melalui kerjasama erat antara pengawal selia negeri serta pemain industri.

Beliau berkata, MPTHJ yakin kejayaan dan perluasan MIB di seluruh Melaka mampu menjana lebih hasil dan pendapatan kepada PBT serta negeri dan menarik ramai pelabur berimpak tinggi bagi meningkatkan aktiviti sosio-ekonomi setempat, membuka peluang pekerjaan baharu kepada penduduk dan peningkatan kualiti hidup rakyat.

"Antara penambahbaikan proses kerja sedang dilaksanakan MPHTJ melalui projek rintis ini ialah fasilitasi awal projek, kelulusan serentak, kebenaran khas mula kerja awal, permohonan lesen operasi awal, permohonan pemasangan mesin awal dan kelulusan 24 jam selepas mendapat CCC.

"Pemerhatian, pengalaman dan data serta maklumat dikumpul daripada projek rintis ini digunakan untuk menambah baik rangka kerja MIB sebelum dikongsi dengan rakan PBT lain," katanya.

Bagi mencapai matlamat pelaksanaan MIB, Sekretariat MIB di bawah IMB ditubuhkan sebagai 'first point of contact' dianggotai PBT dan 18 agensi teknikal.

Ketua Pegawai Eksekutif IMB, Datuk Ginie Lim, pula berkata pihaknya berusaha membangunkan satu sistem pemantauan digital secara bersepadu bagi memudah cara pelaksanaan projek pelaburan di Melaka yang dijangka meningkatkan lagi kecekapan proses dan keberkesanan MIB.

Beliau berkata, MIB turut mendapat kerjasama MPC yang sebelum ini terbabit secara langsung dalam pemudahcaraan Projek E10 dan KFL.

Tingkat daya saing negeri

Ketua Pengarah MPC, Zahid Ismail, berkata transformasi penyampaian peraturan dalam MIB meningkatkan produktiviti dan daya saing negeri.

Katanya, tahap produktiviti Melaka pada kedudukan baik iaitu RM101,604 bagi setiap pekerja, mengatasi tahap produktiviti nasional RM95,585 pada 2022.

"Melaka antara lima negeri melangkaui prestasi produktiviti kebangsaan, namun jika tiada pembaharuan dan inovasi dilaksanakan, pertumbuhan produktiviti Melaka menjadi lebih perlahan, yang memberi kesan kepada pengembangan ekonomi negeri.

"Persekitaran perniagaan kondusif dan kelancaran urusan perniagaan menjadi pengganda pertumbuhan produktiviti mampan. Jadi, pemudahcaraan MPC memfokuskan kepada transformasi peraturan perniagaan bagi memastikan pelabur dan peniaga beroperasi dengan produktif.

"Pendekatan peraturan tangkas menjadi asas pelaksanaan model E10, JFL dan MIB. Jadi, PBT boleh meneraju usaha mempercepatkan proses mendapatkan kelulusan KM, CCC dan lesen perniagaan dengan kerjasama kerajaan negeri serta agensi teknikal berkaitan, sekali gus dapat memastikan peraturan sedia ada dan aspek keselamatan dipatuhi syarikat pelabur, namun proses kerja serta tatacara pematuhan disesuaikan dengan keperluan dan pelan pembinaan".

"Melalui pendekatan ini, proses tidak lagi dilaksanakan mengikut aturan kerja yang mana permohonan di sesebuah agensi hanya diproses selepas selesai prosedurnya di agensi terdahulu, malah ia dilaksanakan secara lebih bersepadu dan fleksibel," katanya.

Beliau berkata, proses kerja berasaskan projek dalam model MIB memastikan penyertaan semua agensi berkaitan di peringkat daerah dan negeri bermula pada peringkat awal projek.

"Melalui usaha bersepadu ini, proses dapat dipercepatkan kerana semua pihak terbabit ada maklumat berkaitan pelaksanaan projek dan boleh memantau perkembangannya. Proses juga berjalan telus dan sebarang salah laku atau rasuah boleh dielakkan kerana isu atau tugasan ditangani secara bersepadu," katanya.

Berita Harian X