Rabu, 29 November 2023 | 10:33am

Gudang logistik runtuh: MBPP keluar notis berhenti operasi serta merta

BAYAN LEPAS: Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) Datuk Ir A Rajendran mengesahkan pihaknya sudah mengeluarkan notis berhenti operasi kerja serta merta berikutan kejadian bangunan runtuh di sini, semalam.

"Kita sudah keluarkan notis berhenti kerja (operasi) serta merta kepada pemaju dan pihak jurutera, awal pagi ini.

"Setakat ini, didapati kerja pembinaan bangunan itu berlangsung ikut jadual. Berikutan kedudukan tapak pembinaan yang jauh daripada kawasan perumahan, kita memberi kebenaran kepada mereka bagi bekerja pada waktu malam," katanya di lokasi hari ini.

Bangunan gudang logistik dalam pembinaan berhampiran Lebuh raya Tun Dr Lim Chong Eu, runtuh kira-kira jam 9.45 malam.

Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad berkata, kejadian membabitkan sembilan pekerja yang mana dua mangsa ditemukan maut di lokasi manakala seorang lagi meninggal dunia ketika dibawa ke Hospital Pulau Pinang (HPP).

Dua mangsa yang cedera parah dibawa ke hospital dan pasukan penyelamat masih mengesan kedudukan baki empat lagi mangsa yang tertimbus dalam runtuhan.

Operasi mencari dan menyelamat mangsa diteruskan dan dimulakan pada jam 9 pagi hari ini membabitkan pelbagai agensi seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam (APM), PDRM dan lain-lain lagi.

Bangunan yang sedang dalam pembinaan itu adalah kompleks perniagaan logistik tiga tingkat yang mempunyai pejabat, ruang parkir dan gudang.

Bangunan gudang logistik dalam pembinaan berhampiran Lebuh raya Tun Dr Lim Chong Eu, runtuh kira-kira jam 9.45 malam. Tiga ditemui maut setakat ini.
Bangunan gudang logistik dalam pembinaan berhampiran Lebuh raya Tun Dr Lim Chong Eu, runtuh kira-kira jam 9.45 malam. Tiga ditemui maut setakat ini.
Anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) mula operasi mencari empat buruh binaan warga Bangladesh masih lagi tertimbus susulan bangunan dalam pembinaan berhampiran Lebuh raya Tun Dr Lim Chong Eu, runtuh malam tadi. - Foto NSTP/Mikail Ong

Berita Harian X