Selasa, 28 November 2023 | 6:41pm

Dasar Pendidikan Digital dilancar hari ini

BANGI: Dasar Pendidikan Digital (DPD) dilancarkan hari ini, dalam usaha kerajaan melahirkan generasi fasih digital yang berdaya saing membabitkan pendidik dan murid.

Ia dilancarkan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dalam satu majlis yang berlangsung di Pusat Konvensyen Bangi Avenue di sini.

Dasar itu menggariskan empat objektif yang mencakupi usaha KPM untuk membangunkan murid fasih digital untuk memenuhi keperluan era digital serta mengupayakan pendidikan dan pemimpin pendidikan untuk mengintegrasikan teknologi digital dalam ekosistem pendidikan.

Selain itu, KPM mengunjurkan dasar itu dapat memperkukuh infrastruktur, infostruktur dan kandungan pendidikan digital selain berupaya mengoptimumkan penglibatan aktif rakan strategik sebagai pemangkin pendidikan digital.

Dalam dasar sama, KPM turut menggariskan enam teras merangkumi murid fasih digital, pendidik kompeten digital, budaya kepemimpinan digital berwawasan, pengupayaan infrastruktur dan infostruktur, kandungan digital berkualiti serta rakan strategik yang komited.

Dalam ucapannya, Fadhlina berkata pihaknya yakin menerusi teras strategik berkenaan, murid berupaya mengguna pakai teknologi digital untuk pembelajaran serta memanfaatkan inovasi dan transformasi digital di sekolah, rumah atau di mana sahaja.

Namun begitu, katanya KPM menyedari masih terdapat jurang digital antara murid di kawasan bandar dan luar bandar.

Untuk memastikan keseluruhan dasar ini berjalan dengan lancar, beliau berkata pihaknya perlu mengupayakan infostruktur dan infrastruktur dengan terus berusaha dalam meningkatkan keupayaan rangkaian internet dan infrastruktur digital yang menjadi kunci untuk memastikan akses yang pantas dan canggih kepada teknologi digital.

Tambahnya, infostruktur dan infrastruktur yang kukuh adalah seumpama jantung yang memacu sumber dan teknologi ke seluruh organisasi pendidikan termasuk menjadi asas kepada pembelajaran dan kemajuan dalam menyampaikan pendidikan berkualiti.

"Bagi mengurangkan jurang akses sumber pembelajaran murid terutama di kawasan luar bandar dan pedalaman, KPM memperkasakan sebanyak 367 buah Pusat Kegiatan Guru (PKG) dan 16 buah Sektor Sumber dan Teknologi Pendidikan (SSTP) Jabatan Pendidikan Negeri di seluruh negara sebagai pusat kecemerlangan untuk inisiatif pendidikan digital.

"Kesemua pusat ini dibekalkan dengan peralatan dan perkakasan studio digital dan hab penghasilan digital yang boleh digunakan oleh murid dan guru bagi meningkatkan kompetensi digital, membangunkan kandungan dan melaksanakan inovasi dalam pengajaran dan pembelajaran (PdP)," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata KPM juga sedang menambah baik kemudahan kelas hibrid di 110 buah institusi pendidikan terpilih yang melibatkan 550 buah bilik darjah.

Dengan pelaksanaan rintis kelas hibrid ini, jelasnya ia akan mengupayakan PdP secara digital dan bersemuka dalam satu ekosistem yang sama.

"PdP secara silang dapat dilaksanakan di antara kelas dan sekolah yang meliputi dalam dan juga luar negara. Pendekatan ini dapat mewujudkan PdP yang membudayakan teknologi secara imersif.

"Kesemua inisiatif ini dapat menambah baik ekosistem pendidikan digital secara berterusan," katanya

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek (lima dari kanan) bergambar bersama pelajar selepas menyampaikan tablet pada Majlis Peluncuran Dasar Pendidikan Digital di Pusat Konvensyen Bangi Avenue (BACC), Bangi.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek (lima dari kanan) bergambar bersama pelajar selepas menyampaikan tablet pada Majlis Peluncuran Dasar Pendidikan Digital di Pusat Konvensyen Bangi Avenue (BACC), Bangi.
Berita Harian X