Selasa, 28 November 2023 | 4:08pm
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar, Datuk Zahari Sarip pada sidang DUN Johor di Kota Iskandar. - Foto ihsan Pejabat MB
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar, Datuk Zahari Sarip pada sidang DUN Johor di Kota Iskandar. - Foto ihsan Pejabat MB

Johor eksport nangka ke China tahun depan

JOHOR BAHRU: Johor bakal mengeksport nangka ke China bermula awal tahun depan dengan penghantaran tahunan membabitkan antara 500 hingga 600 tan menggunakan 100 kontena.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar, Datuk Zahari Sarip, berkata buat permulaan penghantaran itu membabitkan kerjasama dengan dua pengeluar tempatan.

Katanya, susulan pelaksanaan protokol baharu berkaitan keperluan pemeriksaan dan kuarantin dimeterai kerajaan Malaysia dan China pada 1 April lalu, ia membuka peluang pasaran eksport baharu negara, meneroka potensi jualan di negara berkenaan.

"Selain nanas dan durian, nangka juga antara buah-buahan yang berpotensi untuk dieksport.

"Dua syarikat pengeluar nangka iaitu Kawan Pertanian Sdn Bhd dan CSC Sdn Bhd telah melepasi protokol dan kriteria berkaitan keperluan pemeriksaan dan kuarantin untuk eksport nangka ke negara berkenaan," katanya pada sidang media di Kota Iskandar di sini hari ini.

Zahari berkata selepas eksport ini berjaya, kerajaan negeri mengalu-alukan pengusaha tempatan lain bagi sama-sama memenuhi pasaran eksport nangka ke China.

"Terdapat seramai 277 pengusaha nangka membabitkan tanah seluas 564 hektar dengan pengeluaran 7,600 tan.

"Sebelum ini, Johor hanya mengeksport nangka ke Singapura, namun ia adalah pasaran yang terhad," katanya.

Untuk rekod, negara mengeksport nanas ke negara luar dengan nilai RM 1.2 bilion pada tahun 2022.

Johor adalah pengeluar utama beberapa produk makanan negara terutamanya buah-buahan dan sayur-sayuran.

Pada 2022, Johor merekodkan keluasan bertanam buah-buahan terbesar di kawasan seluas 50,217 hektar dengan pengeluaran terbesar iaitu 772,317.4 tan atau 34.5 peratus daripada pengeluaran buah-buahan negara.

Bagi tanaman sayur-sayuran, Johor merekodkan keluasan bertanam seluas 17,188.3 hektar dengan pengeluaran kedua terbesar (selepas Pahang) iaitu sebanyak 245,330.4 tan.

Berita Harian X